Pemain akan dikekalkan pada Mei-Ogos kata Rozabil. FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Pemain akan dikekalkan pada Mei-Ogos kata Rozabil. FOTO NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
Oleh Firdaus Hashim


Kelana Jaya: Perbincangan mengenai masa depan Skuad Projek Sukan SEA 2017 di Wisma FAM hari ini gagal mencapai kata sepakat dengan majoriti wakil pasukan enggan melepaskan pemain mereka kepada Frank Bernhardt.

Bagaimanapun, kebanyakan wakil pasukan lebih berminat dengan pilihan kedua iaitu latihan pusat dan separa pusat berbanding latihan secara tetap seperti mana yang dicadangkan Bernhardt sebelum ini.

"Pertemuan hari ini berjalan baik dengan semua wakil pasukan hadir. Kesemuanya memilih pilihan kedua berbanding pilihan pertama.

"Ia kerana pilihan kedua dilihat lebih 'win win situation' kepada kedua-dua pihak. Untuk pilihan kedua, pemain akan dikumpulkan dari Januari-April secara latihan separa pusat.

"Apabila masuk bulan Mei-Ogos mereka ini akan dikekalkan untuk latihan tetap sehingga temasya itu bermula," kata pengurus pasukan, Datuk Rozabil Abdul Rahman, hari ini.

Menerusi pendedahan Arena Metro sebelum ini, beberapa pemain utama skuad Sukan SEA itu meluahkan keinginan untuk kekal beraksi di kelab dan pasukan negeri.

Namun, Bernhardt yang dipertanggungjawabkan untuk meraih ibu segala pingat di halaman sendiri tahun depan beranggapan pihaknya berdepan kesukaran menyiapkan pasukan seandainya sistem panggilan ketika jendela perlawanan antarabangsa dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 6:17 PM