Khairy (dua kiri) berharap kelab dan negeri melepaskan pemain untuk mewakili skuad negara.
Khairy (dua kiri) berharap kelab dan negeri melepaskan pemain untuk mewakili skuad negara.

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersedia menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah pelepasan mana-mana pemain untuk skuad bola sepak Sukan SEA 2017.

“Saya berharap kelab atau persatuan negeri boleh membantu saya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang Sukan SEA kerana latihan hanya membabitkan beberapa bulan saja.

“Kita tidak minta mereka bersama skuad Sukan SEA sepanjang masa. Frank Bernhardt sudah bersedia berkompromi, jadi saya harap kelab dan negeri melepaskan pemain dalam masa ditetapkan.

“Ini agenda nasional. Saya tahu komitmen kelab dan negeri penting namun bagi saya, ia sama atau lebih penting demi negara. Jika perlu saya boleh menghubungi negeri atau kelab untuk memberikan kerjasama,” katanya.

Sebelum ini pemain Johor DT II Dominic Tan dilaporkan meninggalkan kem latihan skuad bawah 22 tahun negara kendalian Bernhardt.

Pada masa sama Khairy turut menolak tindakan disiplin dan denda dikenakan kerana mahu mewujudkan suasana positif menjelang Sukan SEA.

“Saya lebih suka kita berunding. Ia akan menimbulkan perbalahan dengan kelab atau negeri jika FAM mengambil tindakan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 12:04 PM