BERNAMA

Port Dickson: Seorang penganggur sanggup mempergunakan isteri dan dua anaknya untuk mengaburi kegiatan memecah masuk premis di sekitar daerah ini serta di Rawang dan Gombak, Selangor.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan 1.30 pagi, 9 Ogos lalu, bersama rakan sejenayahnya yang berumur 32 tahun dalam kereta yang turut dinaiki isteri dan dua anaknya.

"Suspek mendedahkan dia membawa isteri dan dua anaknya yang berusia setahun lima bulan dan 10 tahun, bagi mengaburi polis dan masyarakat.

"Ketika melakukan jenayah pecah rumah, suspek meninggalkan isteri dan dua anaknya di pantai, pusat peranginan dan rumah saudara-mara isterinya di sini," katanya di sini, hari ini.

Adzli berkata, ketika ditahan, polis menjumpai peralatan pecah rumah seperti spanar, ragum dan topeng muka ski yang disembunyikan di bawah alas kaki tempat duduk penumpang depan.

“Hasil siasatan, kami membebaskan isteri dan anak suspek dan percaya mereka tidak terbabit dengan kegiatan jenayahnya,” katanya.

Polis turut menahan tiga lagi individu iaitu ibu suspek yang berusia 54 tahun, seorang lelaki warga India kerana menjadi pembeli hasil barang curi dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Beliau berkata, ibu suspek ditahan kerana barang samun dijumpai di rumahnya di Gombak namun hasil siasatan lanjut, polis percaya wanita itu tidak terbabit dengan kegiatan jenayah anaknya.

"Warga India itu yang memiliki kedai runcit di Gombak dan masih mempunyai permit sah, didakwa Khamis lalu, mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki barang curi," katanya.

Adzli berkata suspek yang menyasarkan rumah kedai dan kopitiam, mengaku terbabit dalam tujuh kes pecah masuk di daerah ini serta lapan kes di Gombak dan Rawang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 11:00 PM