SUSPEK berusia 24 tahun yang melarikan diri diburu polis. FOTO ihsan polis
SUSPEK berusia 24 tahun yang melarikan diri diburu polis. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Polis memburu suspek yang melarikan diri ketika dikejar polis sehingga menyebabkan seorang anggota maut akibat dilanggar motosikal di Padang Temusu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis sudah mengenal pasti suspek berusia 24 tahun dipercayai Ketua Geng Min yang terbabit dalam kegiatan samun, curi kenderaan dan pecah rumah.

Beliau berkata, setakat ini tiga rakannya berusia 32 hingga 50 tahun sudah ditahan untuk membantu siasatan.

"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini mempunyai 18 rekod jenayah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati semuanya positif dadah jenis methampetamine," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Padang Temusu, di sini hari ini.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi tadi, seorang anggota polis, Koperal K Mahadir Elis, 38, meninggal dunia selepas dilanggar sebuah motosikal sewaktu melintas jalan ketika mengejar penjenayah.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala suspek melarikan diri.

Berita berkaitan

Anggota polis maut ketika mengejar penjenayah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 2:13 PM