DUA suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Taman Keladi sudah ditahan polis. FOTO ihsan polis
DUA suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah di Taman Keladi sudah ditahan polis. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Polis menahan lima individu dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah di daerah ini selain merampas barangan dicuri itu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam serbuan pertama Ops Pintu pada 2 Jun lalu, sepasukan anggota dan pegawai polis menyerbu sebuah rumah di Taman Keladi, di sini, dan menahan tiga lelaki pada jam 12.30 tengah malam.

Beliau berkata, mereka berusia 21 hingga 30 tahun itu kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda untuk siasatan lanjut kerana disyaki terbabit dengan kes pecah rumah.

"Siasatan mendapati mereka mengaku terbabit dengan kes pecah rumah dan sudah menjual hasil barangan itu kepada dua lelaki lain.

"Berikutan itu, kita merampas sebuah motosikal jenis SYM biru dan tiga helai baju yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan pecah rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, hasil semakan rekod mendapati, suspek pertama yang dikenali sebagai Appu, 30, mempunyai enam rekod kes jenayah dan dadah manakala suspek kedua, Apoi, 28, mempunyai lima rekod jenayah termasuk dadah.

Beliau berkata, suspek ketiga yang dikenali sebagai Munis, 21, pula mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan kesemua mereka tidak bekerja.

"Susulan penahanan mereka, anggota dan pegawai kami melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Petani Jaya, di sini, pada jam 1.30 tengah hari dan menahan dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan tiga suspek yang ditahan sebelum itu.

"Kedua-dua suspek kemudian menunjukkan barang-barang curi yang bersabit dengan laporan kes pecah rumah sebelum ini," katanya.

Adzli berkata, kedua-duanya dibawa ke IPD Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, semakan rekod mendapati, suspek dikenali sebagai Kong, 61, tidak bekerja dan mempunyai lima rekod jenayah lampau manakala suspek dikenali sebagai Prem, 29, yang bekerja sebagai pendawaian itu mempunyai dua rekod jenayah.

"Hasil siasatan mendapati, suspek yang dikenali sebagai Prem mengaku menjadi orang tengah kepada Appu untuk menjual barang elektrik kepada Kong.

"Kong mengaku membeli barang elektrik daripada Prem dengan harga RM550," katanya.

Adzli berkata, antara barangan yang dirampas dalam serbuan kedua itu adalah sebuah peti sejuk, sebuah televisyen dan sebuah motosikal jenama Yamaha LC.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Semakan juga mendapati ianya bersangkut kes yang berlaku pada 6 Februari lalu di Taman Keladi, di sinim selepas seorang pengadu yang menerima panggilan dari jirannya yang rumahnya dipecah masuk pada jam 2.30 pagi.

"Pengadu ketika itu berada di Pulau Pinang dan dia kemudian tiba di rumahnya pada keesokannya harinya sebelum mendapati rumahnya dipecah masuk dan kunci mangga dipotong," katanya.

Adzli berkata, antara barangan yang didapati hilang termasuklah sebuah peti sejuk, sebuah mesin basuh, sebuah televisyen serta sebuah balang berisi wang tunai RM300 dan duit siling.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Jun 2021 @ 11:19 AM