Keadaan tiang konkrit yang rosak di Pasar Besar Melaka Sentral, Peringgit, dan disahkan tidak selamat oleh IKRAM. - Foto Fail
Keadaan tiang konkrit yang rosak di Pasar Besar Melaka Sentral, Peringgit, dan disahkan tidak selamat oleh IKRAM. - Foto Fail
BERNAMA

Melaka: Masih berlaku pergerakan tanah yang aktif di bawah Pasar Besar Melaka di Peringgit di sini, yang boleh mengundang bahaya jika pasar itu tidak dikosongkan dan diruntuhkan segera, kata Pengarah Teknikal Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) Md Rozi Shaari.

Beliau berkata, pergerakan tanah aktif menyebabkan bangunan di atas tanah itu tidak akan dapat bertahan lama dan cadangan membina bangunan pasar baru di tapak asal juga tidak sesuai.

“Tindakan mengosong dan merobohkan bangunan pasar itu perlu sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak sebarang kemungkinan serta menjamin keselamatan peniaga dan pengunjung pasar selain kos bagi membaiki kerosakan bangunan lebih tinggi berbanding pembinaan bangunan pasar baru,” katanya di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan permohonan peniaga dan pengunjung kepada kerajaan negeri untuk membangunkan semula pasar itu di tapak asal atau membina bangunan pasar baru di kawasan sekitarnya.

Masalah tanah mendap menjejaskan struktur bangunan pasar dan siasatan awal mendapati kontraktor tidak mematuhi pelan pembinaan terutama membabitkan kerja menanam cerucuk.

Selain itu Institusi Jurutera Malaysia juga berpendapat kegagalan mengambil kira proses tanah berkemungkinan besar menjadi punca masalah itu.

Md Rozi berkata, pihaknya sedang menyiasat struktur bangunan dan mengenal pasti kelemahan lain bangunan yang beroperasi sejak 12 tahun lalu.

Sementara itu, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman Ismail berkata, pihak luar diminta tidak campur tangan dalam hal itu untuk tidak mengeruhkan keadaan sedia ada dan mengelirukan rakyat.

"Tiada isu kerajaan negeri hendak jual tanah (tapak asal pasar) kerana langkah terbaik perlu diambil untuk kebaikan dan keselamatan semua pihak," katanya.

Beliau berkata semua 310 peniaga sedia ada di Pasar Besar Melaka akan dipindahkan secara berperingkat ke pasar sementara di Bachang yang dijangka siap tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2016 @ 10:37 PM