PASAR Payang, Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP
PASAR Payang, Kuala Terengganu. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

SEBUT sahaja Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang, pasti mereka yang pernah berkunjung ke Terengganu, akan terbayang suasana penuh sesak pengunjung dan kepadatan pelbagai barangan jualan produk popular di negeri itu, termasuk kain batik, sutera dan songket.

Namun, wajah Pasar Payang yang selama ini menjadi ikon di negeri itu pasti akan berubah, apabila kerajaan negeri memutuskan merobohkan bangunan yang dibina sejak 1968 itu, untuk digantikan dengan pasar lebih moden, selesa dan mesra pengunjung, bermula April ini.

Kesemua peniaga sudah diarahkan berpindah secara berperingkat ke bangunan yang terletak hampir 80 meter dari bangunan asal, sementara Pasar Payang baharu, yang menelan belanja RM50 juta dijangka siap dua tahun lagi.

Tinjauan Bernama ke pasar yang terletak di tengah-tengah Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir Sungai Terengganu itu mendapati, rata-rata peniaga masih dihimpit perasaan berbelah bahagi untuk berpindah, kerana pasar yang menjadi sebahagian daripada hidup mereka tentunya meninggalkan pelbagai memori terutamanya, bagi peniaga asal di situ.

Ibrahim Jusoh, 65, yang berniaga sejak 1960-an berkata, Pasar Payang berada pada zaman kegemilangannya sekitar tahun 1980-an, sehingga berjaya menarik pelancong dari dalam serta luar negeri.

Katanya, pasar itu menjadi tapak perjuangan lebih 500 peniaga, majoritinya Melayu, yang menyimpan terlalu banyak kenangan suka duka dalam tempoh 51 tahun kewujudannya dengan beberapa kali mengalami perubahan struktur.

“Sebelum adanya kompleks pasar seperti hari ini, Pasar Payang hanya terdiri dari deretan kedai kecil yang menjual barang keperluan dan di satu sudut lain diisi oleh beberapa peniaga sayur serta buah-buahan.

“Pada 1964 barulah ia dibangunkan sebagai sebuah pasar, bagi menempatkan peniaga dari Pasar Besar Tanjung yang dirobohkan. Nama Kedai Payang pula dikekalkan bagi memelihara sejarah tempat asal itu sendiri,” katanya ketika ditemui Bernama.

PENIAGA di Pasar Payang. FOTO Arkib NSTP
PENIAGA di Pasar Payang. FOTO Arkib NSTP

Mengimbas kenangan, Ibrahim berkata, dia mula berniaga di situ sejak berusia sembilan tahun dengan mengikuti ibunya yang menjual makanan ayam seperti jagung, sekam dan padi.

Menurutnya, keadaan pada waktu itu amat berbeza dengan hari ini, yang mana hanya sekitar 70 hingga ke 80 peniaga, sementara barang dagangan hanyalah kuih-muih, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Bagaimanapun, lama kelamaan semakin ramai peniaga bertapak di situ dan jualan juga dipelbagaikan kepada barangan basah, batik, songket, tembaga dan sebagainya.

“Sepanjang pak cik berniaga di sini, adalah tiga atau empat kali berpindah disebabkan kerja membaiki dan membesarkan bangunan Pasar Payang.

“Malah, dulu-dulu berdekatan pintu masuk Pasar Payang, ada sebuah menara jam besar yang berdiri megah di situ dan menjadi tumpuan orang ramai,” katanya yang masih menyimpan koleksi gambar lama Pasar Payang sebagai kenangan.

Lebih nostalgia, Ibrahim berkata, Pasar Payang dirasmikan Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah 31 Ogos 1968 yang ketika itu adalah Yang di-Pertuan Agong keempat.

Seorang lagi peniaga asal di situ, Ibrahim Mohamad, 75, berkata, memori paling diingati ketika mencari rezeki di situ ialah kesibukan peniaga serta orang ramai memunggah barangan dari perahu ke pasar.

Bermula dengan mengambil upah mengangkut barangan, Ibrahim mula berjinak-jinak berniaga buah-buahan, bagi menyara isteri serta 15 orang anak yang masih kecil.

“Sekitar tahun 1960-an hingga awal 80-an, perahu atau bot adalah pengangkutan utama masyarakat dari Paloh, Seberang Takir, Teluk Pasu dan Kuala Nerus yang datang membawa barang dagangan masing-masing.

“Pada masa itu buah-buahan dijual secara longgok sahaja, iaitu RM1 untuk 20 biji limau yang dibekalkan oleh orang kampung.

“Malah, ketika itu penggunaan sukatan masih dalam unit tahil, kati dan pikul bukannya kilogram seperti sekarang,” katanya yang tidak dapat menahan rasa sayu, apabila mengenangkan Pasar Payang yang bakal bertukar wajah.

Sungguhpun begitu, Ibrahim yang sudah lebih 50 tahun berniaga di situ tetap akur, dengan pelan pembangunan yang diharap dapat mengembalikan kegemilangan Pasar Payang, seperti suatu masa dahulu.

Nama Pasar Payang, yang beroperasi seawal 7 pagi hingga 6 petang itu, diambil sempena ‘perahu payang’ yang sering digunakan nelayan sejak awal proses perdagangan di negeri itu, dan pada awalnya ia hanyalah gerai berasaskan kayu dan dinaik taraf pada 1968.

Bangunan dua tingkat yang bakal dirobohkan itu, menjual pelbagai barangan di tingkat atas terutama kain batik dan songket asli Terengganu manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah serta pelbagai rempah ratus dan barang kemas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 11:02 AM