Norrihan Bakar, 51, memeluk erat selimut milik anak tirinya Noor Amila Edrus (gambar kiri) ketika ditemui di kediamannya di Perumahan Rumah Panjang Jinjang Utara, petang semalam. - Foto Bernama
Norrihan Bakar, 51, memeluk erat selimut milik anak tirinya Noor Amila Edrus (gambar kiri) ketika ditemui di kediamannya di Perumahan Rumah Panjang Jinjang Utara, petang semalam. - Foto Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Noor Amila Edrus Norsham dipercayai meninggal dunia pada hari pertama dilaporkan hilang pada Khamis lalu (11 Ogos).

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner R Munusamy berkata, ketika mayat kanak-kanak berumur lima tahun itu ditemui, ia dalam keadaan meniarap dengan tangan dan kaki diikat tali kabel.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia sejak hari pertama dia dilaporkan hilang pada Khamis lalu (11 Ogos)," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, suspek berumur 26 tahun yang remannya berakhir hari ini, disambung sehingga Rabu depan, adalah warganegara Malaysia dan bekerja sebagai mekanik.

Beliau yang menafikan suspek adalah etnik Rohingya seperti dilaporkan media, berkata setakat ini, siasatan kes itu yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh, hanya membabitkan seorang individu.

"Polis sudah mendapatkan perintah tahanan reman suspek disambung sehingga Rabu bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, polis yang menyiasat daripada pelbagai aspek termasuk culik untuk wang tebusan, dendam dan juga serangan seksual dalam kes itu, sudah mengambil keterangan 10 individu termasuk isteri suspek, anggota keluarga yang lain serta beberapa penduduk kampung yang mengenali suspek dan mangsa.

Sementara itu, ibu tirinya Norrihan Bakar, 51, berkata Noor Amila Edrus yang dijaganya sejak berusia sembilan bulan, terlalu manja dengannya.

"Edrus ramah, suka bergurau dan selalu menyakat anggota keluarga lain. Saya selalu suapkan makanan kepadanya ketika dia bermain basikal

di depan rumah," katanya sambil memegang erat selimut milik anak tirinya itu.

Menurutnya, sepanjang tujuh hari kehilangan kanak-kanak itu, beliau merasa amat bimbang kerana anak tirinya itu menghidapi asma.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 12:10 AM