AFP

Rio de Janeiro: Penggantungan terhadap semua atlet angkat berat Russia memberikan tamparan hebat buat negara itu sebelum mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa yang pastinya didominasi dengan pelbagai skandal doping.

Kritikan terhadap perkampungan atlet di Rio pula menambahkan kegusaran menjelang Sukan Olimpik yang akan bermula dalam tempoh seminggu.

Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) menggantung semua lapan atlet angkat berat Russia, lima lelaki dan tiga perempuan ke Rio.

Semua 117 atlet Russia daripada 387 yang disenarai awal Jawatankuasa Olimpik Russia kini dilarang daripada menyertai Olimpik.

Mereka termasuk 67 atlet trek dan padang.

“Reputasi angkat berat sudah pun terjejas teruk berulang kali di pelbagai peringkat oleh atlet Russia, jadi satu hukuman sewajarnya perlu dikenakan bagi mengekalkan status sukan itu,” kata IWF.

“Kami mahu memberi perhatian terhadap statistik mengejutkan dan memalukan yang dikaitkan dengan atlet angkat berat Russia.”

Antara yang digantung termasuklah juara dunia Artem Okulov (gambar) selain Ruslan Albegov memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik London 2012 dan Tatiana Kashirina pemenang pingat perak.

IOC berdepan kritikan hebat kerana tidak mengarahkan penggantungan sepenuhnya terhadap Russia selepas laporan bebas menyatakan berlakunya kes doping yang didalangi negara berkenaan di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2014 di Sochi.

Eksekutif IOC akan bermesyuarat selam dua hari untuk membincangkan krisis itu dengan mesyuarat sepenuhnya pada esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2016 @ 5:09 AM