RUSLAN (dua kiri) bersama anggotanya menunjukkan pedang samurai, peralatan dan barang yang dirampas daripada 'Geng Pak Tunggal'. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
RUSLAN (dua kiri) bersama anggotanya menunjukkan pedang samurai, peralatan dan barang yang dirampas daripada 'Geng Pak Tunggal'. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Jasin: 'Pak Tunggal' dan orang kanannya kini berada dalam tahanan polis bersabit kes curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar daerah Jasin dan Melaka Tengah.

Tangkapan dua dalang utama kumpulan curi kenderaan dan pecah rumah dikenali sebagai ‘Geng Pak Tunggal’ itu, sekurang-kurangnya berjaya menyelesaikan 15 kes di dua daerah ini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Dauk Ruslan Hassan berkata, tangkapan itu dibuat sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada 2 Ogos lalu.

"Pada 11 pagi, sepasukan polis dari IPD Jasin diketuai Inspektor Leong Cheong Fei menangkap dua lelaki masing-masing berusia 20 dan 28 tahun di rumah di Taman Alai Perdana, Melaka.

"Hasil daripada tangkapan itu, kita turut merampas pelbagai barang curi termasuk kereta dan tiga motosikal curi, yang keseluruhannya bernilai lebih RM250,000," kata Ruslan dalam sidang media di IPD Jasin, hari ini.

Beliau berkata, suspek berusia 28 tahun yang ditahan adalah ketua kumpulan itu yang dikenali sebagai Pak Tunggal manakala suspek berusia 20 tahun adalah orang kanannya.

"Geng ini ada enam orang semuanya dan kita sudah mengenal pasti empat lagi suspek secara positif yang dipercayai berusia 20-an," katanya.

Ruslan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 457 kanun yang sama kerana pecah rumah dan mencuri serta Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas dikesan positif dadah jenis methamphetamine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 5:22 PM