POKOK buah ajaib.
POKOK buah ajaib.
STRUKTUR binaan semula jadi daripada pokok mudah lentur seperti kesinai turut menjadi tarikan.
STRUKTUR binaan semula jadi daripada pokok mudah lentur seperti kesinai turut menjadi tarikan.
PUSAT berkeluasan tiga hektar itu turut meliputi tujuh taman berbeza dan tapak semaian.
PUSAT berkeluasan tiga hektar itu turut meliputi tujuh taman berbeza dan tapak semaian.
BUNGA Limpah diinspirasi daripada binaan yang dihasilkan di Laman Florikultur pada MAHA 2016, baru-baru ini.
BUNGA Limpah diinspirasi daripada binaan yang dihasilkan di Laman Florikultur pada MAHA 2016, baru-baru ini.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Tarikan mata pada Bunga Limpah yang memperincikan keindahan bunga-bungaan dalam reka bentuk unik sudah tentu menuntut ketelitian luar biasa. Binaan landskap yang menyerupai air melimpah dari tong kayu gergasi itu pasti membuat sesiapa saja terpukau apatah lagi terhasil dari susun atur bunga terpilih.

Dibina di Taman Wangian, Pusat Teknologi Florikultur dan Herba, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang itu, ia sudah tentu menjadi cetusan idea buat pencinta dunia landskap.

Menurut Penolong Pengarah Seksyen Florikultur, Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur, Pusat Pembangunan Komoditi, Kompleks Jabatan Pertanian Serdang, Muhamad Adli Salihin Samsudin, dekoratif itu inspirasi daripada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2016, baru-baru ini.

“Landskap Bunga Limpah di Laman Florikultur MAHA 2016 yang lalu mendapat perhatian ramai dan dari situ datang idea untuk menjadikan binaan serupa sebagai tarikan utama serta mercu tanda di pusat ini.

“Gabungan bunga-bungaan pelbagai warna yang ‘melimpah’ dari bekas kayu gergasi itu menggunakan empat jenis pokok iaitu marigold jingga, marigold kuning, balung ayam dan ati-ati,” katanya.

Menurutnya lebih 400 pokok dalam beg semaian disusun pada binaan struktur besi dan kayu serta di atas tanah itu mengambil masa tiga hari untuk siap sepenuhnya.

Pokok pada binaan Bunga Limpah itu bakal berganti mengikut waktu tertentu bagi menampilkan kelainan kepada pengunjung.

“Bunga-bungaan yang disusun pada landskap ini dijangka bakal bertahan hingga akhir Februari ini.

“Ini kerana ia ditanam dalam beg semaian jadi jika jangka hayatnya tidak panjang, selepas Februari ini ia bakal digantikan dengan tanaman lain seperti herba atau sayur-sayuran,” katanya.

Selain landskap Bunga Limpah, terdapat beberapa struktur binaan lain yang bakal dibina bagi mencantikkan lagi taman di pusat berkenaan khususnya Taman Wangian.

“Kami juga dalam proses menyiapkan struktur binaan dinosaur dan kumbang kura-kura bagi mengindahkan lagi taman ini selain menarik perhatian pengunjung,” katanya.

Muhamad Adli Salihin berkata, usaha pusat berkenaan menampilkan landskap dan penataan taman bertujuan memberi idea serta membantu pengunjung mencipta landskap sendiri.

Pusat Teknologi Florikultur dan Herba bukan saja menjadi pusat kecemerlangan untuk perkongsian ilmu malah menjadi tempat riadah kepada individu dan keluarga.

Menurut Muhamad Adli Salihin, pihaknya komited untuk memberi tunjuk ajar dan membuat demonstrasi kepada mana-mana pihak untuk mempelajari kaedah menanam pokok serta seni mengubah landskap. “Kanak-kanak seawal lima tahun hingga pelajar institusi pengajian tinggi boleh melawat tempat ini kerana ia antara pusat kecemerlangan untuk berkongsi ilmu menghasilkan bunga-bungaan, herba, cendawan dan madu.

“Di sini juga tempat untuk menternak madu lebah kelulut jadi, sesiapa saja boleh datang tidak kira pelajar, penjawat awam atau organisasi swasta.

“Kami turut membantu individu yang ingin membuka perniagaan dalam bidang pertanian dan landskap dengan mengajar cara penjagaan serta penanaman pelbagai jenis pokok,” katanya.

Pusat berkenaan menjadi salah satu destinasi agropelancongan terbaru di negara ini dan mendapat pengiktirafan Kementerian Pelancongan dan Industri Asas Tani pada 2012.

Sejak itu, pusat berkeluasan tiga hektar ini sudah menerima lebih 40,000 pengunjung hingga penghujung tahun lalu.

Secara keseluruhan, terdapat terdapat tujuh taman berbeza yang menjadi tarikan dan tumpuan pengunjung di situ iaitu Taman Wangian, Taman Tapiari, Taman Koleksi Orkid, Taman Orkid Teresterial, Taman Apiari, Taman Koleksi Pokok Hiasan dan Taman Koleksi Herba.

Terdapat lebih 9,000 pokok sama ada di tanah dan dalam pasu di pusat berkenaan membuatkan pengunjung tidak jemu dan mendapat banyak input dengan mengelilingi seluruh taman.

Bagi yang gemarkan pokok, terdapat beberapa spesies yang jarang ditemui di tempat lain tapi ditanam di pusat itu termasuk pokok buah ajaib, daun emas dan janda kaya.

Tidak ketinggalan ia turut menjadi lokasi majlis perkahwinan dalam taman selain sesuai untuk sesi bergambar, hari keluarga, latihan atau lawatan tanpa sebarang bayaran.

“Masuk adalah percuma dan pusat ini dibuka pada waktu pejabat dan ditutup Sabtu serta Ahad. Namun temu janji perlu dibuat terlebih dulu selain mengemukakan surat rasmi dua minggu lebih awal untuk sebarang majlis,” katanya.

Layari Facebook Pusat Teknologi Florikultur Dan Herba Serdang untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2017 @ 5:05 AM