SEJAK muncul dalam komik Batman pada 1940, Joker terus diangkat sebagai watak jahat paling popular hingga kini.
SEJAK muncul dalam komik Batman pada 1940, Joker terus diangkat sebagai watak jahat paling popular hingga kini.
Syafil Syazwan Jefri


Pelbagai kritikan diberikan pengkritik filem dunia selepas filem Suicide Squad ditayangkan di pawagam.

Antara kritikan paling jelas ialah mengenai watak Joker lakonan Jared Leto kerana terlalu banyak babaknya yang dipotong.

Bukan hanya pengkritik filem, Leto juga meluahkan rasa kecewa apabila terlalu banyak babak yang tidak ditayangkan di pawagam.

“Saya harap ramai yang akan lebih terbuka dalam melakukan potongan terhadap babak dalam filem,” katanya dalam satu temu bual.

Joker adalah watak jahat yang dicipta Bill Finger, Bob Kane dan Jerry Robinson. Ia membuat kemunculan pertamanya dalam komik Batman pada pada 25 April 1940.

Joker yang kerap tampil dengan sut berwarna ungu digambarkan sebagai penjahat yang psiko dan terkenal dengan lawak tidak masuk akal.

Mungkin ramai yang tidak tahu, watak Joker dirancang untuk ‘dimatikan’ pada penampilan awalnya, namun diteruskan bagi menjadi watak jahat yang sentiasa mendampingi perjalanan cerita Batman.

Sekitar tahun 1950-an, kekejaman watak Joker pernah dikurangkan bagi menepati syarat yang ditetapkan Jawatankuasa Kod Komik.

Daripada watak yang sangat kejam dan jahat, ia diubah menjadi watak yang nakal dan suka mengenakan watak lain.

Namun, bermula pada 1970-an, Joker kembali beraksi dengan karakter asalnya sebagaimana awal kemunculan.

Berbanding penjahat lain, Joker tidak memiliki kuasa luar biasa yang tidak mampu dilakukan manusia biasa.

Sebaliknya dia bijak mencipta pelbagai alatan dengan menggunakan pengetahuannya dalam bahan kimia serta kejuruteraan.

Dari situ, terhasillah pelbagai alatan antaranya kad judi setajam mata pisau, ‘buzzer’ yang mampu membunuh dan bunga lapel yang memercikkan asid.

Joker juga pernah bekerjasama dengan beberapa watak jahat lain antaranya Penguin, Two-Face, Injustice Gang dan Injustice League.

Disebabkan sikapnya yang gila kuasa dan psiko, kerjasama antara Joker dan penjahat lain tidak pernah kekal lama.

Bagi pengikut setia watak Joker, tentunya watak Harley Quinn tidak lagi asing.

Harley yang pada mulanya bekerja sebagai pakar psikiatri Joker akhirnya jatuh cinta dan kedua-duanya bergabung tenaga menentang kuasa baik.

Antara pelakon yang pernah memegang peranan sebagai Joker ialah Cesar Romero dalam siri TV Batman pada tahun 1960-an, Jack Nicholson dalam Batman (1989), Heath Ledger dalam The Dark Knight (2008) dan terbaru, Jared Leto dalam Suicide Squad (2016).

Mark Hamill dan Troy Bake pula pernah memberi suara untuk siri animasi Batman.

Setiap watak Joker mempunyai kekuatan dan impak masing-masing dalam filem.

Namun, Joker versi mendiang Ledger dalam filem The Dark Knight menjadi sebutan sehingga ke hari ini.

Ia digambarkan sebagai watak Joker paling kejam pernah dicipta dan Ledger berjaya membawakannya dengan cukup baik sekali. Ia juga melayakkan Ledger memenangi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Academy Awards pada 2008.

Rata-rata memberikan penghormatan kepada lakonan Ledger dalam The Dark Knight dan setiap kata-katanya dalam filem itu menjadi ikonik.

Bagi peminat setia animasi yang membesar menonton Batman: The Animated Series, tentunya ketawa Joker yang menggunakan suara Mark Hamill tidak akan dilupakan.

Bagaimanapun, Jared masih boleh diberi pujian menerusi filem baru itu dan tentunya berjaya mencuri perhatian lebih ramai peminat watak ikonik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 5:04 AM