SENAPANG patah yang digunakan dalam kes tembak Bau ditemui disembunyikan di kawasan semak di Kampung Selarat, Sematan. FOTO Ihsan Polis
SENAPANG patah yang digunakan dalam kes tembak Bau ditemui disembunyikan di kawasan semak di Kampung Selarat, Sematan. FOTO Ihsan Polis
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Tiga lelaki ditahan di lokasi berasingan di bandar ini, semalam kerana terbabit dalam kes tembak mati seorang lelaki di Kampung Jugan, Bau, Jun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mazlan Mansor berkata, pasukan siasatan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak Senior Asisten Komisioner Dev Kumar berjaya menahan tiga suspek berusia 40 hingga 42 tahun.

Menurutnya, suspek pertama ditahan di Taman Dahlia, Matang, pada jam 4.30 pagi, diikuti suspek kedua lima minit kemudian oleh pasukan berasingan di Taman Samajaya, di sini.

"Serbuan diteruskan di rumah suspek ketiga di Tabuan Melayu, di sini," katanya.

Mazlan berkata, susulan penahan ketiga-tiga suspek, polis berjaya menemui semula senjata digunakan yang disembunyikan di kawasan semak di sebuah rumah di Kampung Selarat, Sematan, Lundu.

"Polis menemui selaras senapang patah yang sama digunakan untuk menembak mangsa dan lapan peluru hidup.

"Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula, semalam untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kejadian jam 2 petang, 21 Jun lalu, mangsa, Chon Siew Kiong,36 ditembak di kepala oleh individu tidak dikenali ketika berada dalam sebuah lori di Kampung Jugan, Bau.

Mangsa segera dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut, sebelum disahkan meninggal beberapa hari kemudian akibat cedera parah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 5:46 PM