GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Melvin Joni


Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 17 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang cuba memasuki negeri ini dalam tempoh empat hari berturut-turut, sejak Jumaat lalu sehingga hari ini.

Ketua Komander Briged PGA Sarawak Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, kesemua Pati terbabit ditahan dalam Op Benteng Covid-19 dengan tangkapan hari ini membabitkan dua lelaki dan seorang wanita.

Katanya, ketiga-tiga mereka ditangkap ketika bersembunyi di sebuah stor di belakang kedai makan berhadapan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak, Lundu, pada 7.10 pagi.

"Setelah disoal siasat, ketiga-tiga mereka mengaku telah masuk ke Sarawak melalui jalan tikus di Ladang Sawit Kampung Biawak dan kesemuanya gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran masuk yang sah ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Mancha berkata, pasukan Cawangan Risik Batalion 11 PGA menahan seorang lelaki tempatan selepas bukan sahaja membawa masuk seorang lelaki dan dua wanita warga Indonesia, bahkan cuba merasuah polis.

Katanya, tangkapan dibuat pada 7.50 pagi di simpang Kampung Telok Serabang, Lundu berdekatan jalan tikus sempadan Sarawak-Kalimantan.

"Suspek merayu agar tidak ditangkap dan mahu memberi wang rasuah kepada ketua operasi sebanyak RM1,200," katanya.

Sementara itu, Mancha berkata, sembilan lelaki warga Indonesia ditangkap pada Sabtu lalu, 7.45 pagi, ketika bersembunyi di belakang sebuah kedai makan berdekatan ICQS Biawak.

Katanya, kesemua Pati itu disyaki masuk melalui jalan tikus di Ladang Pasir Jaya, Lundu.

"Pada hari sama, dua lelaki warga Indonesia dihalang memasuki negeri ini melalui jalan tikus di Kampung Padang Pan, Bau sekitar 4 petang.

"Kedua-dua lelaki itu diarahkan berpatah balik ke tempat mereka menggunakan laluan yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2020 @ 5:37 PM