AZIZUL Anuar ditemani Dr Sim bertemu orang ramai pada  kempen pilihan raya.
AZIZUL Anuar ditemani Dr Sim bertemu orang ramai pada kempen pilihan raya.
Shamran Sarahan


Lundu: Kerajaan negeri memberi jaminan membawa lebih banyak projek pembangunan di Tanjong Datu bagi meneruskan aspirasi dan legasi Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, untuk manfaat penduduk.

Menteri Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Sim Kui Hian berkata, tumpuan utama kerajaan negeri di kawasan itu meningkatkan kemudahan prasarana termasuk rancangan menaik taraf Hospital Lundu.

Menurut beliau, usaha itu bukan saja dilaksanakan di Lundu bahkan Hospital Bau yang berdekatan dengan Tanjong Datu dinaik taraf.

“Cadangan itu dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan dan menunggu kelulusan.

“Kami mahu membangunkan pusat penjagaan kesihatan di sini supaya penduduk tidak menghadapi kesulitan mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya ketika ditemui pada program tinjauan mesra Barisan Nasional (BN) di pekan Lundu, di sini, semalam.

Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) diiringi Azizul Annuar Adenan, 26, anak bongsu calon BN, Puan Sri Jamilah Anu, sepanjang tinjauan mesra itu.

Sim berkata, selain di Lundu dan Bau, kerajaan negeri melakukan usaha sama bagi meningkatkan kemudahan kesihatan di seluruh Sarawak terutama di hospital utama.

“Kami mencadangkan menaik taraf lif di hospital utama seperti Hospital Umum Sarawak di Kuching dan ia menunggu kelulusan,” katanya.

Sementara itu, ketika kempen berlangsung, Azizul Annuar sempat menyampaikan salam ibunya, Jamilah kepada orang ramai yang ditemui ketika bermesra dengan penduduk di pekan Lundu.

Dia mengambil kesempatan itu untuk menjelaskan mengenai ketidakhadiran ibunya sepanjang tempoh berkempen kerana masih dalam idah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 6:13 AM