GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) menambah empat lagi pangkalan hadapan menjadikan jumlah keseluruhan di Sarawak kini sebanyak 23.

Pengarahnya, Noriah Ahmad berkata, penambahan pangkalan hadapan itu dibuat susulan hujan lebat berterusan yang dijangka berlaku Selasa ini.

Beliau berkata, semua pangkalan hadapan itu diwujudkan bagi memudahkan bantuan segera disalurkan kepada mangsa jika banjir melanda.

"Empat pangkalan tambahan itu semuanya di daerah Bau iaitu di Jugan, Seberang Buso, Bogag dan Suba Buan.

"Pangkalan hadapan JKMNS ini menempatkan pelbagai barangan keperluan untuk mangsa banjir terutamanya makanan, minuman, lampin bayi serta keperluan untuk dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) selimut, tilam, bantal, kit kebersihan seperti selimut, tilam, bantal dan kit kebersihan," katanya.

Noriah berkata, sebelum ini JKMNS sudah mewujudkan 19 pangkalan hadapan iaitu lapan di Miri, Bintulu (tiga), Kuching dan Mukah (dua), Sri Aman, Betong, Sarikei dan Kapit masing-masing satu.

Selain itu katanya, sebanyak 631 PPS yang mampu menampung seramai 188,360 orang sudah disediakan bagi menempatkan mangsa banjir dengan jumlah tertinggi di Bahagian Kuching iaitu 155 PPS.

Bahagian Miri sebanyak 95 PPS, Sri Aman (59), Samarahan (50), Sibu (48), Serian (43), Mukah (36), Betong (34), Sarikei (31), Kapit (28), Bintulu (27) dan Limbang (25).

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan berterusan di timur Johor, timur Sabah dan barat Sarawak bagi tempoh Selasa hingga Khamis ini susulan luruan monsun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Disember 2021 @ 4:14 PM