PANDALELA Rinong. -FOTO Instagram
PANDALELA Rinong. -FOTO Instagram

Hamdan Saaid

[email protected]

Kuala Lumpur: Penerjun berpengalaman negara Datuk Pandelela Rinong menunaikan kewajipannya sebagai pengundi apabila pulang ke Sarawak hujung minggu lalu bagi mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-12.

"Perjalanan hujung minggu lalu amat menyeronokkan dan tidak dapat dilupakan. Saya pulang ke kampung halaman semata-mata untuk membuang undi kali pertama dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, begitu teruja sekali.

"Sebagai rakyat Sarawak, saya berharap dan mendoakan yang terbaik untuk negeri saya, tidak kira siapa yang mentadbirnya, tolong jaga dengan baik, jaga keselamatan, lindungi rakyat dan pelihara alam semula jadi," tulisnya dalam hantaran terbaharu di laman Instagram.

Dalam hantaran itu juga, dia turut memuat naik gambar dengan jari telunjuknya hampir dipenuhi dakwat undi.

Pandelela, 28, yang dilahirkan di Kupuo Jugan, satu kampung Bidayuh di Bau, Sarawak, dipercayai dalam penerbangan pulang semula ke ibu negara untuk meneruskan latihan bersama skuad kebangsaan.

Dia meraih dua pingat pada temasya Sukan Olimpik. Pada London 2012, dia merangkul pingat gangsa dalam acara 10 meter platform wanita dan perak pada Rio 2016 dalam acara 10m platform seirama wanita bersama Cheong Jun Hoong.

Bagaimanapun pada temasya Tokyo 2020, Pandelela gagal mengulangi pencapaian itu apabila menghuni tangga ke-12 dalam acara 10m platform dan kelapan bersama Leong Mun Yee dalam acara 10m platform seirama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 2:47 PM