ANGGOTA APM memeriksa PPS di Serian. FOTO ihsan JPBN Sarawak
ANGGOTA APM memeriksa PPS di Serian. FOTO ihsan JPBN Sarawak
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seramai 1,207 penduduk daripada 305 keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di negeri ini, sehingga 12 tengah hari ini.

Daripada jumlah itu, 1,150 dipindahkan selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir manakala 57 lagi akibat kejadian tanah runtuh.

Jumlah itu menurun berbanding 1,212 mangsa daripada 302 keluarga yang direkodkan pada 10 pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, daerah Kuching mencatakan jumlah tertinggi iaitu seramai 445 mangsa daripada 103 keluarga.

Menurutnya, daerah Samarahan pula mencatatkan seramai 189 mangsa (46 keluarga), Serian seramai 165 mangsa (49 keluarga), Sebuyau seramai 163 mangsa (43 keluarga), Betong seramai 127 mangsa (38 keluarga), Simunjan seramai 33 mangsa (12 keluarga) dan Gedong seramai 28 mangsa (7 keluarga).

Sementara itu, 57 mangsa daripada tujuh keluarga pula ditempatkan di PPS di Serian susulan kejadian tanah runtuh.

Berdasarkan laporan sehingga 12 tengah hari ini, dua PPS iaitu di Balai Raya Kampung Opar dan Balai Raya Kampung Jugan, kedua-duanya dalam daerah Bau, sudah ditutup.

PPS di daerah Kuching yang masih aktif ialah di Dewan Kampung Bedaun, Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek, Dewan Kamaruddin Kampung Segedup Lot, Sekolah Rendah Bantuan Chung Hua Sejijak.

Di Samarahan pula, PPS yang masih aktif ialah di Dewan Suarah Kota Samarahan, SK Kampung Baru, Dewan Kampung Melayu dan SK Endap.

Di Gedong, satu PPS masih dibuka iaitu di Dewan Masyarakat Lubok Buntin, di Sebuyau (Masjid Kampung Seruyuk) dan di Simunjan (SMK Simunjan No.1).

Di Serian, empat PPS masih dibuka iaitu di Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi, Balai Raya Betong Kanowit, Dewan Kampung Kerumboi dan Dewan Kampung Lintang Baru.

Di Betong dua PPS masih aktif iaitu Dewan SMK Kalaka Roban dan Dewan Millennia Debak.

Sementara itu, satu lagi PPS di Serian iaitu Dewan Kampung Koram Mawang pula dibuka bagi menempatkan mangsa tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 2:14 PM