PETUGAS memeriksa mayat lelaki yang ditembak mati selepas polis melancarkan  operasi mencegah pengedaran dadah berikutan kempen Duterte untuk membunuh penjenayah yang ada kaitan dengan dadah.
PETUGAS memeriksa mayat lelaki yang ditembak mati selepas polis melancarkan operasi mencegah pengedaran dadah berikutan kempen Duterte untuk membunuh penjenayah yang ada kaitan dengan dadah.
Kamarudin Mohamed Salleh

Ketika berkempen untuk bertanding dalam pilihan raya presiden Filipina, Rodrigo Duterte berikrar berulang kali, dia akan melancarkan operasi membunuh, menyasarkan jenayah yang ada kaitan dengan dadah di negara itu, sebaik sahaja memegang jawatan berkenaan.

Dia menawarkan hadiah kepada polis, tentera dan sesiapa sahaja yang ingin membantunya - membunuh 100,000 penjenayah sepanjang enam bulan selepas menjadi presiden.

Dia dengan bangga berkata, akan ada begitu banyak mayat di Teluk Manila sehingga ikan di dalamnya akan gemuk memakan mayat itu.

Dan hari ini, Duterte kelihatan memang boleh dipercayai. Dia mengotakan apa yang dikatakannya. Berdasarkan angka yang diberikan media tempatan, lebih 800 pengedar dan penagih dadah serta mereka yang ada hubungan dengan kegiatan narkotik itu dibunuh sejak Mei lalu, apabila Duterte memenangi pilihan raya berkenaan.

Mereka dibunuh oleh polis dan sukarelawan yang tidak dikenali. Ada juga yang ditembak mati oleh tentera. Tetapi, kebanyakannya adalah pengedar dan pengguna dadah serta pencuri kecil-kecilan. Boleh dikatakan, jenayah sebenar yang mereka lakukan ialah hidup dalam kemiskinan.

Dan mereka dibunuh secara kejam.

Dalam erti kata lain, usaha Duterte untuk menyelesaikan masalah jenayah dadah dengan melakukan pembunuhan tanpa perbicaraan hanya memburukkan lagi kehidupan penduduk miskin.

Ia secara tidak langsung pasti akan menjejaskan demokrasi negara itu.

Ketidakpedulian Duterte terhadap pemerintahan menurut undang-undang tidak terhad kepada penjenayah. Jun lalu, sebelum dia mengangkat sumpah jawatan, Duterte seolah-olah berkata, wartawan yang ditembak mati di Filipina - antara negara paling bahaya untuk media - memang wajar dibunuh.

“Mengkritik pihak berkuasa tidak termasuk dalam kebebasan bersuara. Undang-undang tidak boleh melindungi kamu jika kamu tidak menghormati orang lain,” katanya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyelar kenyataan itu.

Minggu lalu, Konsortium Dasar Dadah Antarabangsa, sebuah rangkaian bukan pertubuhan kerajaan, menggesa agensi kawalan dadah PBB mendesak pembunuhan yang berlaku di Filipina dihentikan.

Semalam, Persidangan Paderi Katolik, kumpulan berpengaruh di Filipina, juga mengecam pembunuhan berleluasa pesalah dadah.

Ketua paderi, Socrates Villegas, dalam mesej yang dibacakan pada perhimpunan di gerejanya berkata, Filipina kini menjadi medan pembunuhan kerana sikap tidak peduli rakyat terhadap tindakan Duterte.

Tetapi, walaupun dikecam, baik dari dalam mahupun luar, kajian yang dilakukan di negara itu menunjukkan Duterte mendapat sokongan rakyatnya.

Dan Duterte juga berkata, dia tidak pedulikan dengan kecaman kumpulan hak asasi manusia.

Pengguna dadah memerlukan bantuan. Menghapuskan kemiskinan di Filipina dengan menangani masalah ketidaksamarataan, meningkatkan peluang pendidikan dan mewujudkan peluang pekerjaan mungkin cara terbaik mengekang kegiatan dadah dan jenayah kecil.

Memang benar, penjenayah perlu dihukum. Tetapi mereka juga berhak mendapatkan perbicaraan yang adil.

Penulis Pengarang Global Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2016 @ 8:08 AM