London: Manchester United berhasrat meraih kemenangan keenam berturut-turut sekali gus menambahkan rekod buruk berterusan pengurus Liverpool Brendan Rodgers serta anak buahnya apabila kedua-duanya bertemu di Old Trafford, Ahad ini.

United yang sekadar menamatkan saingan di tangga ketujuh musim lalu, terus mempamerkan aksi meyakinkan apabila mencatat kemenangan terbaru 2-1 ke atas Southampton sekali gus naik ke tangga ketiga buat kali pertama sejak Ogos 2013.

Secara perbandingan, Liverpool yang muncul naib juara liga musim lalu, kini menduduki tangga kesembilan dan tersingkir awal pada kempen Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu FC Basel, kelmarin.

Kelab Anfield itu bergelut untuk kembali mempamerkan rentak cemerlang selepas sekadar mencatat dua kemenangan daripada enam perlawanan terakhir termasuk seri tanpa jaringan bertemu Sunderland dan kini mengumpul 21 mata.

Penyerang United, Robin van Persie menjaringkan kedua-dua gol untuk mengatasi Southampton.

Kapten Belanda itu berkata, dia serta rakan sepasukan yang ketinggalan lapan mata berbanding pendahulu, Chelsea, akan cuba mempamerkan aksi terbaik.

“Perlawanan seterusnya adalah Liverpool. Kami tidak sabar untuk turun pada pertemuan itu.

“Kami gembira kerana dapat memperbaiki kedudukan liga. Kami perlu mengekalkan momentum ini,” katanya.

Chelsea akan cuba kembali mencatat kemenangan ke atas Hull City di Stamford Bridge esok selepas anak buah Jose Mourinho mencatat kekalahan pertama iaitu 1-2 di tangan Newcastle United minggu lalu.

Manchester City yang menduduki tempat kedua liga pula mengambil kesempatan daripada kekalahan Chelsea dengan mencatat kemenangan 1-0 ke atas Everton dan kini ketinggalan tiga mata berbanding lawan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 7:11 AM