CITY perlu menang untuk melupakan kekalahan di tangan Lyon. -Foto AFP
CITY perlu menang untuk melupakan kekalahan di tangan Lyon. -Foto AFP
Sukanteam


LONDON: Manchester City dan Liverpool mengalami nasib berbeza dalam saingan Liga Juara-Juara minggu ini tetapi kedua-duanya perlu segera melupakan aksi di pentas Eropah.

Walaupun Liverpool berjaya melakar kemenangan ke atas Paris Saint-Germain, namun berdasarkan statistik musim lalu menunjukkan City mempunyai peluang yang tinggi untuk kembali bangkit bagi saingan domestik susulan kekalahan di tangan Lyon.

Di atas kertas, kedua-dua kelab itu tidak berdepan tugas sukar dalam saingan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini dengan anak buah Pep Guardiola turun menentang Cardiff City manakala Liverpool melayan kunjungan Southampton.

Melihat sejenak kepada aksi Cardiff City, pasukan ini berdepan jadual cukup mencabar kerana bakal berdepan juara bertahan, City selepas baru saja beraksi dengan Arsenal dan Chelsea sebelum ini.

City kini berada di tangga ketiga dengan empat kemenangan dan satu seri manakala Cardiff City pula di kedudukan empat tercorot, dan paling menarik kedua-dua pasukan hanya bertemu tiga kali dalam 14 tahun lalu.

Cardiff mendapat sedikit keyakinan apabila kali terakhir bermain di laman sendiri, mereka menyumbat dua gol menentang Arsenal sebelum tewas menerusi jaringan saat akhir. City pula pasti mahu melupakan kekecewaan kalah kepada Lyon 1-2 dalam aksi Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu.

MOHAMED SALAH
MOHAMED SALAH

Liverpool kini merekod permulaan terbaik sejak 1990. Dengan lima kemenangan tanpa kalah, mereka kini menduduki tangga kedua di belakang Chelsea hanya dibezakan satu gol. Southampton yang dalam beberapa tahun kebelakangan ini menjual pemain tonggak kepada Liverpool juga berada di tahap terbaik selepas menewaskan Crystal Palace dan Brighton dalam aksi terakhir.

Liverpool di bawah kendalian Juergen Klopp mendapat perhatian dengan corak permainan menarik terutama bahagian serangan yang cukup bahaya. Gandingan Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah nyata menghadirkan gerun kepada pasukan lawan. Malah seorang lagi penyerang Daniel Sturridge juga bersedia untuk menggalas tugas pada bila-bila masa apabila menjaringkan gol ketika menewaskan PSG 3-2 dalam aksi Liga Juara-Juara.

Manchester United yang berdepan tekanan sedar mereka tidak boleh terus keciciran mata di Old Trafford. Di awal musim, skuad Red Devils pasti tidak membayangkan akan berada di sebelah Wolverhampton dalam kedudukan liga dengan perbezaan satu mata.

United bermula baik dengan menewaskan Leicester namun mereka kecundang kepada Brighton dan Spurs selepas itu. Namun ada tanda kebangkitan buat anak buah Jose Mourinho apabila menewaskan Watford 2-1 dengan Romelu Lukaku memainkan peranan penting dalam perlawanan itu.

Wolves pula memulakan musim dengan dua seri dan satu kalah. Mereka mempamerkan peningkatan dalam tiga perlawanan berikutnya dengan dua kemenangan ke atas Burnley dan West Ham. Penyerang Raul Jimenez sudah mula menemui sentuhan namun bukan mudah untuk menembusi kubu pasukan tuan rumah di Old Trafford.

EDEN HAZARD
EDEN HAZARD

Chelsea akan berkunjung ke gelanggang jirannya di timur London dengan sasaran meraih kemenangan keenam berturut-turut. West Ham pula memulakan kempen dengan prestasi teruk apabila kalah empat perlawanan berturut-turut namun ada sedikit peningkatan pada aksi terakhir dengan menewaskan Everton 3-1 di tempat lawan. Andriy Yarmolenko dan Marko Arnautovic bakal menjadi taruhan menggempur kubu Chelsea selepas masing-masing menemui sasaran minggu lalu.

Namun dengan Eden Hazard kini di kemuncak prestasi, agak sukar untuk West Ham menyekat hajat Chelsea. Pemain kebangsaan Belgium itu meledak hatrik ketika membenam Cardiff City 4-1 minggu lalu dan pasti akan menjadi duri dalam daging kepada pertahanan lawan.

Skuad Gunners mula mendapat rentak di bawah kendalian Unai Emery apabila mencatat tiga kemenangan pada aksi terakhir mereka. Paling menarik jentera serangan mereka semakin menjadi menerusi gandingan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang sambil dibantu Mesut Ozil.

ARSENAL dilihat mampu teruskan aksi mantap di saingan liga. -Foto AFP
ARSENAL dilihat mampu teruskan aksi mantap di saingan liga. -Foto AFP

Nasib berbeza menimpa Everton yang dikejutkan dengan kekalahan kepada West Ham di laman sendiri. Ia juga kekalahan pertama mereka dalam saingan liga musim ini selepas menang sekali dan seri tiga. Everton sudah bertemu dengan Arsenal sebanyak 210 kali dengan separuh daripada pertemuan itu dikuasai oleh kelab dari London itu. Musim lalu Arsenal memalukan Everton dengan kemenangan 5-1 dan 5-2.

Apa pun segala keputusan perlawanan hanya dapat ditentukan selepas pengadil membunyikan wisel pada minit ke-90. Akan tetapi setiap pasukan tak wajar dipandang sebelah mata kerana masing-masing memiliki peledak dan barisan pertahanan cukup mantap apatah lagi aksi masih di peringkat awal musim.

RAMALAN:

Fulham 1 Watford 2

Burnley 1 Bournemouth 2

Cardiff 1 Man City 3

C Palace 1 Newcastle 0

Leicester 2 Huddersfield 0

Liverpool 3 Southampton 0

Man Utd 3 Wolves 1

Brighton 1 Tottenham 1

West Ham 1 Chelsea 3

Arsenal 3 Everton 0

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 10:12 PM