CASEMIRO meraikan jaringannya ketika menewaskan Bournemouth. FOTO AFP
CASEMIRO meraikan jaringannya ketika menewaskan Bournemouth. FOTO AFP
Agensi

London: Manchester United mempunyai tugas mudah untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara dengan perlu menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Newcastle United sudah mengesahkan tempat mereka di saingan elit Eropah itu selepas melakar keputusan seri 0-0 ketika bertemu pasukan yang bergelut di zon penyingkiran, Leicester City, hari ini.

The Magpies tidak dapat membolosi gawang Foxes sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan berkongsi satu mata.

Untuk menduduki tempat ketiga, Manchester United perlu memenangi kedua-dua dua perlawanan terakhir mereka. United kini di belakang Newcastle dengan satu mata tetapi kurang satu perlawanan berbanding seteru mereka itu.

Jika mereka menewaskan Chelsea, Khamis ini, United hanya perlu meraih keputusan seri sama seperti diraih Newcastle pada perlawanan terakhir musim ini bertemu Fulham.

Untuk mengesahkan tempat empat terbaik sekali gus layak ke Liga Juara-Juara, United hanya memerlukan satu mata selepas pasukan tangga kelima, Liverpool ketinggalan tiga mata dengan berbaki satu perlawanan lagi.

Dengan Newcastle sudah mengesahkan kedudukan empat teratas, persaingan ketika ini untuk memburu tiket ke Liga Juara-Juara hanya tinggal antara United dan Liverpool.

Skuad kendalian Erik ten Hag adalah pasukan pilihan tetapi sekiranya United kalah dalam dua perlawanan terakhir dan Liverpool menewaskan Southampton pada perlawanan terakhir mereka, maka skuad bimbingan Jurgen Klopp akan merampas kedudukan keempat menerusi perbezaan gol sekali gus layak ke Liga Juara-Juara.

Jika Liverpool gagal menewaskan Southampton, maka United akan menamatkan saingan liga sekurang-kurangnya di tempat keempat tanpa mengira keputusan baki dua perlawanan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 9:59 AM