MORGAN (kiri) akan julang trofi Liga Perdana sebelum aksi menentang Everton.
MORGAN (kiri) akan julang trofi Liga Perdana sebelum aksi menentang Everton.
Reuters

London: Leicester City boleh bermain sambil berparti Sabtu ini selepas sah bergelar juara Liga Perdana Inggeris, tetapi bagi lawan mereka yang mahu mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan, pertemuan itu tidak boleh diambil ringan.

Foxes yang dibimbing Claudio Ranieri bakal berseronok di depan penyokong sendiri di Stadium King Power sedangkan Everton perlu berhempas-pulas untuk menyelamatkan diri.

Sebelum perlawanan itu, pemain Everton akan menyaksikan trofi Liga Perdana dijulang kapten Leicester Wes Morgan.

Arsenal dan Manchester City pula akan berdepan di Stadium Etihad Ahad ini ketika kedua-duanya sudah tidak lagi mampu merebut gelaran juara musim ini.

Ketika juara tahun lalu Chelsea tergelincir dari landasan kejuaraan manakala Manchester United serta Liverpool turut longlai, City dan Arsenal gagal mengambil kesempatan itu sebaliknya membiarkan Leicester mengatasi Tottenham Hotspur untuk menjulang gelaran Inggeris pertama dalam sejarah mereka.

Dengan baki dua perlawanan musim ini, City dan Arsenal perlu memastikan tempat mereka dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Pasukan di tangga ketiga, Arsenal yang ketinggalan tiga mata di belakang Tottenham dan tiga mata di atas City, akan layak ke Liga Juara-Juara buat kali ke-18 berturut-turut jika menang.

Andai kalah, City akan membuka ruang kepada pasukan di tangga kelima Manchester United yang bertandang ke Norwich City. United ketinggalan empat mata di belakang musuh setempat itu dan akan bertemu West Ham minggu depan.

Tekanan pasti memihak kepada City yang perlu memastikan mereka menamatkan musim di kedudukan empat teratas selepas tersingkir pada separuh akhir Liga Juara-Juara. Skuad kendalian Manuel Pellegrini itu hanya mempunyai empat hari untuk bangkit daripada kekalahan 0-1 di tangan Real Madrid awal pagi semalam.

Kegagalan Arsenal untuk mengejar Leicester selain kemungkinan menamatkan musim di belakang Tottenham buat kali pertama sejak 1995 mencetuskan perbalahan antara pengurus Arsene Wenger dengan penyokong setia kelab yang pantas menuntut perubahan.

Aksi terakhir musim menentang Aston Villa di tempat sendiri amat penting buat Arsenal jika mereka tewas di Etihad.

Impian Tottenham untuk mengejar Leicester musnah selepas sekadar seri 2-2 di Chelsea tetapi mereka pasti menamatkan musim di kedudukan tiga teratas jika menewaskan Southampton di White Hart Lane, Ahad ini.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino itu mahu menamatkan aksi di tempat kedua dan ia penamat terbaik sejak 1963 apabila Everton menjadi juara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2016 @ 10:45 AM