Ana mahu jodoh berkekalan hingga ke akhir hayat. FOTO ANA DAHLIA
Ana mahu jodoh berkekalan hingga ke akhir hayat. FOTO ANA DAHLIA
Nor Akmar Samudin


Kuala Lumpur: Selepas lima tahun bergelar janda, pintu hati pelakon Ana Dahlia, 33, akhirnya terbuka semula untuk mendirikan rumah tangga semula apabila dia melangsungkan pertunangan dengan duda anak dua, Sabtu lalu.

Majlis pernikahan Ana yang juga pelakon drama Marhaban Kome Oi dengan Mohd Ashraf Jurey itu dijangka berlangsung dalam masa terdekat ini.

Ana berkata, mereka berkenalan lebih setahun lalu dan dalam jangka masa itu, Ashraf mahu hubungan mereka melangkah ke fasa lebih serius tetapi Ana yang sudah dua kali mengalami kegagalan rumah tangga meminta diberikan masa untuk dia berfikir.

“Saya perlukan masa berfikir dengan mendalam bukan kerana takut untuk berkahwin lagi, tetapi biarlah jodoh kali ini berkekalan sehingga ke akhir hayat.

“Saya juga ingin memiliki rumah tangga bahagia dan ada anak. Sebelum ini saya menang ada keinginan untuk mendirikan rumah tangga tetapi saya tiada masa nak berkenalan dengan orang kerana sibuk dengan penggambaran drama,” katanya yang tidak dikurniakan anak dalam dua perkahwinan terdahulu.

Ana berkata, dia yakin dengan Ashraf kerana mereka masing-masing ada pengalaman dalam perkahwinan.

“Sepanjang tempoh perkenalan saya juga nampak dia tahu bagaimana untuk ‘mengurus’ saya dan dia boleh terima perangai saya.

“Saya beranikan diri dan kuatkan hati untuk menerima lamarannya kerana kalau saya tak cuba, saya tak tahu apa yang akan berlaku pada kemudian hari. Apa pun saya rasa jodoh saya sudah sampai dan saya reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 7:19 PM