NONNY memohon doa dan sokongan daripada peminat supaya kuat menghadapi masalah melanda itu. FOTO Instagram Nonny Nadirah
NONNY memohon doa dan sokongan daripada peminat supaya kuat menghadapi masalah melanda itu. FOTO Instagram Nonny Nadirah
Ardini Sophia Sina


“KAMI berpisah bukan kerana orang ketiga,” kata pelakon dan penyanyi, Nonny Nadirah mengulas perpisahannya dengan suami, Mustain Adnan.

Kata pelakon drama Melankolia itu, dia menganggap jodoh mereka tidak panjang.

Nonny turut menyatakan dia menerima perkara itu dengan hati terbuka.

“Memang agak berat untuk kongsi cerita membabitkan rumah tangga tetapi lambat laun, saya harus jelaskan juga.

“Saya tidak lagi tinggal sebumbung dengan suami. Kami tidak lagi hidup bersama.

“Tidak ada sesiapapun yang sudah berkahwin inginkan perceraian. Mungkin jodoh kami tidak panjang. Bagaimanapun, saya berlapang dada menerima qada dan qadar ini,” katanya.

Menurutnya, dia dan bekas suami membuat keputusan untuk tidak lagi tinggal sebumbung pada Oktober tahun lalu.

Dia bagaimanapun belum bersedia berkongsi tarikh sebenar mereka berpisah.

Dalam pada itu, Nonny turut memohon doa dan sokongan daripada peminat supaya dia kuat menghadapi masalah yang melanda itu.

“Saya harap peminat mendoakan yang terbaik untuk saya dan dia. Semoga Allah menggantikan dengan benda yang lebih baik lagi.

“Saya juga perlukan sokongan peminat semua untuk kekuatan berhadapan masalah ini,” katanya.

Terdahulu, peminat mulai tertanya-tanya mengenai status rumah tangga pasangan itu apabila bekas suaminya bertindak memadam semua gambar dan video mereka bersama di Instagram.

Menguatkan lagi spekulasi mengenai keretakan rumah tangga mereka adalah apabila Nonny ke Tanah Suci menunaikan umrah tanpa suami sebagai mahram dan hanya ditemani oleh bapa saudara.

Nonny dan Mustain mendirikan rumah tangga pada 18 Mac tahun lalu di Kota Kinabalu, Sabah selepas sembilan tahun berkenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 7:17 PM