GAMBAR fail,  pulau penjara Nusakambangan.
GAMBAR fail, pulau penjara Nusakambangan.

Cilacap: Polis dan tentera Indonesia meningkatkan kawalan keselamatan di pulau penjara Nusakambangan di Cilacap, Jawa Tengah, menjelang pelaksanaan hukuman mati terhadap sekumpulan pesalah dadah.

Masa dan tarikh pelaksanaan hukuman itu belum diumumkan. Bagaimanapun, Ketua Polis Jawa Tengah, Inspektor Jeneral Condro Kirono berkata semalam, polis sudah bersedia melaksanakan hukuman berkenaan.

“Hanya masa yang akan menentukan. Kami sudah bersedia. Apa yang saya lakukan ialah memastikan semua persiapan sudah dilakukan,” kata Condro selepas melawat tempat dan kesediaan anggota polis yang akan melaksanakan hukuman itu.

Ibu pejabat polis Jawa Tengah juga menyediakan doktor dan ahli agama bagi memeriksa keadaan fizikal dan mental pesalah.

Menteri Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia mengesahkan pelaksanaan hukuman itu, yang ketiga sejak tahun lalu, akan dijalankan dan berkata, semua persediaan teknikal, tempat untuk melaksanakannya, sudah disiapkan.

“Kami menanti arahan sahaja,” kata Mulyanto, ketua bahagian penahanan pejabat kementerian itu di Jawa Tengah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 11:50 AM