Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, mengarahkan Pengerusi Malaysian Crime Watch Task Force (MyWatch) Datuk R Sri Sanjeevan dilepas dan dibebaskan serta merta daripada tahanan reman 21 hari yang diperintahkan terhadapnya mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memerintahkan demikian selepas membenarkan permohonan habeas corpus (penahanan salah) yang dikemukakan Sanjeevan untuk mencabar penahanannya.

Mohamad Shariff dalam keputusannya berkata, tempat penahanan Sanjeevan di Pusat Tahanan Reman Polis Jalan Ipoh memberi pelbagai tafsiran yang mewujudkan kekeliruan mengenai penahanannya.

Pada 11 Julai lalu, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis untuk menahan reman Sanjeevan selama 21 hari dari 11 Julai hingga 31 Julai.

Sanjeevan ditahan bulan lalu bersama pemandunya atas kesalahan ugutan jenayah dan pemerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 1:38 PM