SEBAHAGIAN pesakit yang disyaki mengalami simptom keracunan makanan selepas makan di sebuah gerai di Seputeh, Batu Gajah ditempatkan di Hospital Batu Gajah. FOTO Muhaizan Yahya
SEBAHAGIAN pesakit yang disyaki mengalami simptom keracunan makanan selepas makan di sebuah gerai di Seputeh, Batu Gajah ditempatkan di Hospital Batu Gajah. FOTO Muhaizan Yahya
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Keputusan ujian Jabatan Kimia mengenai sampel makanan yang dipercayai tercemar dengan racun serangga hingga menyebabkan 39 individu di Batu Gajah, dekat sini keracunan termasuk empat kritikal dijangka diperoleh seawal Selasa ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, sampel makanan yang dipercayai tercemar itu sudah dihantar ke Jabatan Kimia semalam untuk ujian.

Menurutnya, setakat jam 12 tengah hari ini hanya tiga mangsa yang kritikal saja kini dirawat di wad kecemasan (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, manakala seorang lagi yang dirawat di wad sama sudah dibenarkan keluar.

"Mangsa yang dirawat di ICU adalah kesemuanya wanita dan seorang lagi yang sebelum ini kritikal sudah dibenarkan kekuar hospital.

"Lima lagi mangsa yang ditempatkan di wad di HRPB iaitu dua wanita dan tiga lelaki kini beransur pulih," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, seramai 24 mangsa lagi termasuk dua kanak-kanak masih dirawat di Hospital Batu Gajah (HBG).

"Kesemua mereka menunjukkan perubahan positif, manakala seorang lagi mangsa yang ditempatkan di KPJ Ipoh turut beransur pulih," katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, seramai 30 wanita dan sembilan lelaki mengalami simptom keracunan makanan dipercayai berpunca daripada bahan kimia Organophosphorus iaitu racun serangga selepas membeli makanan di sebuah gerai di Siputeh, Batu Gajah.

Semua mereka dimasukkan ke HBG selepas mengalami simptom muntah, cirit-birit serta badan mula berpeluh selepas makan makanan dari gerai berkenaan, sebelum beberapa mangsa yang kritikal dipindahkan ke HRPB dan KPJ Ipoh untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 3:05 PM