RIYASUTIN (kanan) meningkatkan kualiti persembahan makanan selain rasa yang enak.
RIYASUTIN (kanan) meningkatkan kualiti persembahan makanan selain rasa yang enak.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Kebiasaannya restoran mamak menjadi tumpuan kaki lepak. Ini menyebabkan premis itu sarat dengan meja dan kerusi bagi menampung pelanggan yang biasanya gemar menghabiskan masa di situ.

Bagaimanapun, melangkah masuk ke Restoran Q Bistro Nasi Kandar di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, keadaannya berbeza berbanding kedai mamak lain kerana bukan saja bersih, malah selesa.

Hiasan moden di ruang makan dapat dilihat pada susun atur ruang kedai dan pemilihan perabot yang agak berbeza daripada kebiasaan.

Restoran yang baru dibuka bulan lalu itu juga menampilkan menu yang diberi nafas baru.

Pemiliknya Riyasutin Mohamed Dulkif berkata, menu yang diketengahkan bukan saja enak, malah menitikberatkan persembahan dan penampilan hidangan.

“Biasanya kedai nasi kandar cuma mementingkan kualiti masakan dan rasa hidangan, namun kami memberi keseimbangan dengan rasa yang enak dan persembahan hidangan menarik.

“Selain itu, banyak menu yang ditampilkan di sini diperbaharui dan kebanyakannya resipi istimewa daripada cef kami sendiri,” katanya.

Antara menu istimewa yang hanya boleh didapati di restoran berkenaan ialah lauk diberi nama ‘Ayam Q’.

“Nama juadah ini diambil daripada nama restoran sendiri kerana menu ini unik dan resipi daripada cef kami tersendiri,” kata Riyasutin.

Ayam goreng bersalut sos rempah istimewa itu tidak jemu atau muak dimakan terutama apabila dihidang bersama nasi putih kerana campuran rempahnya seimbang dan tidak terlalu manis.

Selain menawarkan menu makanan dari India utara dan selatan, restoran itu turut menampilkan makanan barat dan Thailand bagi memenuhi selera pelbagai lapisan pelanggan.

Lebih menarik, sup gearbox yang terkenal di Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur hasil sentuhan Cef Salim turut dihidangkan di Restoran ‘Q’Bistro Nasi Kandar.

Keenakan sup yang dihidangkan bersama roti putih ini bukan saja tidak hanyir, malah mampu menambat selera ramai terutama apabila dinikmati panas-panas.

Keunikan sup ini ialah kerana ia dimasak menggunakan campuran 38 rempah dikisar halus dan digabung bersama air rebusan tulang gearbox.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:22 AM