1. SAPUAN bedak asas ke seluruh wajah bagi menjadikan rona kulit sekata.
1. SAPUAN bedak asas ke seluruh wajah bagi menjadikan rona kulit sekata.
2. SAPU bedak tabur agar kulit menjadi lebih halus.
2. SAPU bedak tabur agar kulit menjadi lebih halus.
3. BENTUKKAN alis menggunakan celak hitam atau coklat saja.
3. BENTUKKAN alis menggunakan celak hitam atau coklat saja.
4. OLESKAN pembayang mata pada kelopak mata kemudian ratakan.
4. OLESKAN pembayang mata pada kelopak mata kemudian ratakan.
5. LAYANGKAN maskara pada kedua-dua belah bulu mata anda agar mata menjadi lebih galak dan cantik bersinar.
5. LAYANGKAN maskara pada kedua-dua belah bulu mata anda agar mata menjadi lebih galak dan cantik bersinar.
6. SAPUAN pemerah pipi menambah kesempurnaan solekan anda.
6. SAPUAN pemerah pipi menambah kesempurnaan solekan anda.
RINGKAS namun menawan gaya ke acara rumah terbuka Aidilfitri.
RINGKAS namun menawan gaya ke acara rumah terbuka Aidilfitri.
Siti Zarinah Sahib

Lebaran masih terasa kemeriahannya. Jika seminggu beraya di kampung kini tibalah masanya meraikan Aidilfitri bersama rakan dan keluarga tercinta di bandar.

Apa yang pasti sudah tentu banyak jemputan menghadiri rumah terbuka diterima. Sama ada di pejabat mahupun di rumah pastinya anda tidak mahu melepaskan peluang menghadirinya bagi mengeratkan jalinan silaturahim.

Bagi wanita, sudah pasti rancak memikirkan busana yang akan digayakan bagi menghadiri rumah terbuka. Ada yang memilih pakaian tradisional, tidak kurang juga memilih potongan moden bagi menyesuaikan dengan tema sambutan lebaran.

Tidak kurang pentingnya solekan yang akan dikenakan agar ia sesuai dengan busana ditampilkan. Jika pada pagi lebaran, anda mungkin sudah berhias cantik dengan solekan tebal apa kata untuk acara rumah terbuka anda mengenakan solekan semula jadi, tetapi masih menampakkan kesan segar dan glamor.

Menurut jurusolek profesional Yann Rifft, pemilihan rona bedak asas sangat penting kerana ia akan meninggalkan kesan secara menyeluruh. Ini kerana salah pemilihan bedak asas akan menjejaskan kesempurnaan penampilan. Ditambah pula dalam keadaan cuaca panas yang membuatkan bedak asas mudah cair seterusnya menjadikan wajah anda bertompok.

“Bercakap bab solekan, antara cabaran utama adalah mengekalkan keseluruhan warna solekan agar ia kekal sepanjang hari. Dalam keadaan cuaca panas, kesilapan memilih alat solek akan menjadikan wajah bertambah comot terutama apabila bedak asas atau maskara mencair terkena peluh. Caranya dengan menggunakan alat solek kalis air atau memilih bedak asas sesuai dengan jenis kulit anda,” katanya.

Selain bedak asas, ramai mengambil mudah rona pembayang mata. Ada yang memilih berdasarkan warna baju, ada pula mengikut rasa atau warna kesukaan mereka. Sebaiknya pilih pembayang mata warna semula jadi dalam kelompok kebiru-biruan, merah jambu, ungu digabungkan dengan coklat atau keperang-perangan. Elakkan warna terlalu terang kerana ia akan menyebabkan wajah anda kelihatan garang.

“Sudah tentu kehadiran anda sebagai tetamu amat dinanti-nantikan. Sebaiknya biarlah anda bersederhana sama ada dalam berpakaian atau solekan. Penampilan ringkas akan membuatkan kehadiran tidak menjadi tumpuan,” katanya.

Menaikkan seri wajah, selepas sapuan pembayang mata, oles celak pada bahagian hujung mata kemudian kemaskan dengan maskara. Pastikan alis anda juga dikemaskan menggunakan celak dan sisir alis.

Kemudian serikan dengan pemerah pipi rona merah jambu serta gincu warna merah pucat. Bagi yang bertudung ikatan selendang turut memainkan peranan. Elakkan membuat ikatan tudung berlebih-lebihan sehingga menenggelamkan seri semula jadi wajah anda.

Gunakan gaya selendang yang biasa anda gayakan supaya anda kelihatan selesa ketika berbual dengan tetamu atau menjamu selera. Ingat acara rumah terbuka bukanlah tempat untuk anda ‘melaram’ solekan dan busana baru anda sebaliknya ia masa merapatkan hubungan yang terjalin selama ini.

Panduan solekan ketika cuaca panas

• Mulakan dengan penutup cela

Penutup cela mempunyai fungsi ‘ajaib’ iaitu mampu menutup noda dan cela pada wajah terutama lingkaran gelap pada bahagian bawah mata dan kulit wajah yang tak sekata. Apa yang perlu anda lakukan adalah sapu penutup cela kemudian ratakan secukupnya pada wajah sehingga warna kulit nampak sekata.

• Jangan tinggalkan bedak asas

Bedak asas wajib diratakan dulu pada kelopak mata kerana ia cara terbaik mengelak pembayang mata mencair ketika cuaca panas. Pastikan anda mengaplikasikan bedak asas menggunakan hujung jari yang bersih sebelum memakai pembayang mata.

• Gunakan alat solek kalis air

Di pasaran terdapat pelbagai alat solek kalis air yang mudah ditanggalkan sama ada menggunakan penanggal alat solek atau air biasa. Solekan jenis kalis air penting terutama dalam keadaan cuaca panas sekarang.

Untuk maskara, pilih daripada jenis tekstur cepat menyerap untuk mengelak gumpalan maskara cair pada hujung mata. Kemudian agar lebih menawan, oleskan gincu nude, senada dengan warna kulit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 12:36 PM