GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Dubai: Emirates semalam dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Terbaik Dunia 2016 di majlis Anugerah Penerbangan Dunia Skytrax yang berlangsung di Pertunjukan Udara Antarabangsa Farnborough, United Kingdom.

Syarikat berkenaan juga meraih hadiah untuk Hiburan Dalam Penerbangan Terbaik Dunia untuk tahun ke-12 berturut- turut serta Syarikat Penerbangan Terbaik Asia Barat.

Secara keseluruhan, dua lagi syarikat penerbangan negara Teluk Arab - Qatar Airways dan Etihad Airways, juga berada dalam senarai 10 penerbangan terbaik dunia dengan masing masing menduduki tangga kedua dan keenam.

Anugerah tahun ini berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap 19.2 juta borang kaji selidik yang diisi penumpang dari 104 negara dan meliputi 280 syarikat penerbangan.

Ini kali keempat Emirates memenangi hadiah tertinggi sejak anugerah untuk syarikat penerbangan diperkenalkan 15 tahun lalu. Sebelum ini ia memenangi gelaran syarikat penerbangan terbaik pada 2001, 2002 dan 2013.

Emirates ialah syarikat penerbangan terbesar dunia dengan rangkaian menyeluruh yang berkembang untuk menawarkan kepada pelanggannya pilihan 154 destinasi di 81 negara di seluruh dunia.

Etihad Airways yang menduduki tangga keenam syarikat penerbangan terbaik dunia tahun ini turut memenangi tiga anugerah lain - Kabin Kelas Pertama Terbaik Dunia, Tempat Duduk Kelas Pertama Terbaik dan Katering Kelas Pertama Terbaik.

10 Syarikat Penerbangan Terbaik 2016:

1 Emirates

2 Qatar Airways

3 Singapore Airlines

4 Cathay Pacific

5 ANA All Nippon Airways

6 Etihad Airways

7 Turkish Airlines

8 EVA Air

9 Qantas Airways

10 Lufthansa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 10:18 AM