Mohd Edzwan bersama keluarga berbuka di Qatar. Bekalan makanan yang dijual di pasar raya di Doha mencukupi, manakala Bazar Ramadan Doha meriah dan dipenuhi orang ramai yg tidak terkesan dgn kemelut politik Qatar. FOTO ihsan Mohd Edzwan
Mohd Edzwan bersama keluarga berbuka di Qatar. Bekalan makanan yang dijual di pasar raya di Doha mencukupi, manakala Bazar Ramadan Doha meriah dan dipenuhi orang ramai yg tidak terkesan dgn kemelut politik Qatar. FOTO ihsan Mohd Edzwan
HM Digital

RAKYAT Malaysia di Qatar, Mohd Edzwan Kamaruzman berkongsi pengalamannya. Ikuti kisahnya di negara itu seperti yang diceritakan kepada wartawan Harian Metro, Asmah Rusman.

“€œMemasuki hari ketujuh isu Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, kami di sini biasa-biasa sahaja malah tidak ada yang berbeza sebaliknya bulan Ramadan dilalui dengan penuh keberkatan dan kesyukuran.

Sehingga kini 10 negara mengambil tindakan itu manakala dua buah negara mengurangkan hubungan diplomatiknya sekaligus hubungan laut, udara dan darat juga terputus malah penerbangan Qatar Airways dilarang memasuki ruang udara mereka.

Warga Qatar di negara berkenaan diarah keluar tetapi warga Mesir yang berada di negara ini masih dibenarkan bekerja dan menetap di Qatar.

Penutupan sempadan dan pintu keluar masuk menyebabkan bekalan bahan mentah terutama sumber makanan yang mana 90 peratus diimport dari Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman juga terputus.

Hari pertama isu itu berlaku, rakyat Qatar panik menyebabkan mereka menyerbu pasaraya utama untuk membeli stok makanan sehingga habis licin manakala rak makanan pula kosong.

Bagaimanapun, kebimbangan kami tidak berpanjangan malah janji kerajaan Qatar untuk menangani isu itu dengan baik bukan cakap kosong kerana memasuki hari kedua dan hari-hari seterusnya, bekalan makanan semakin banyak dan mencukupi.

Kami difahamkan ia dibawa masuk dari Turki malah rak makanan di pasaraya utama yang sebelum ini kosong kembali penuh seolah-olah tidak berlaku sebarang masalah.

Alhamdulillah, saya dan rakyat Malaysia yang bekerja dan tinggal di sini masih tersenyum gembira meneruskan kehidupan di bumi Qatar.

Bazar Ramadan Doha penuh diserbu orang ramai dan sentiasa meriah sehingga tiba waktu berbuka puasa. Waktu Qatar adalah lima jam lewat dari waktu Malaysia.

Selepas ini, tempoh perjalanan pulang dari Doha ke tanah air tercinta, bertambah 30 minit menjadikan tujuh jam penerbangan dek kerana perubahan laluan perjalanan akibat sekatan ruang udara yang dikenakan Arab Saudi dan sekutunya.

Bagaimana pun, penerbangan ke arah timur, Eropah dan Amerika boleh dikatakan tidak terkesan langsung dengan perubahan berkenaan sebaliknya penerbangan ke Afrika dan Amerika Latin mengalami penambahan waktu perjalanan.

Rakyat Malaysia di Qatar boleh terbang pulang beraya di tanahair melalui syarikat penerbangan yang menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad kecuali Emirates, Etihad dan Saudi Airlines.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2017 @ 2:02 AM