IZHAM
IZHAM

Kuala Lumpur: Malaysia Airlines Bhd akan mengembangkan rangkaian antarabangsanya dengan penerbangan terus baharu ke Doha bermula 25 Mei menandakannya sebagai destinasi Timur Tengah ketiga selepas Jeddah dan Madinah.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata, perkhidmatan baharu itu akan menyediakan penumpang kesalinghubungan yang lancar melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, membolehkan perhubungan yang optimum ke Amerika Syarikat, Eropah, Afrika dan Timur Tengah melalui perkongsian kod dengan Qatar Airways.

"Laluan baharu ini adalah peluang terbaik untuk mengembangkan rangkaian dan penawaran Malaysia Airlines, termasuk menghubungkan pasaran Asean dengan rantau Timur Tengah.

"Perkhidmatan itu akan meningkatkan lagi pertumbuhan aliran trafik melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membuka Malaysia secara lebih meluas kepada pelancong dari destinasi antarabangsa lain," katanya.

Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan terus harian antara KLIA (KUL) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (DOH) menerusi MH160 yang berlepas dari KUL-DOH pada 9.20 malam dan MH161 DOH-KUL pada 1.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 8:39 AM