Ayisy Yusof

Kuala Lumpur: Pos Malaysia Bhd menerusi anak syarikatnya, Pos Aviation Sdn Bhd dilantik sebagai penyedia katering perkhidmatan pesawat berbadan lebar baharu Malaysia Airlines Bhd (MAB), A350 bagi laluan Kuala Lumpur-London.

Pos Aviation yang sebelum ini dikenali sebagai KL Airport Services Sdn Bhd (KLAS) menyediakan perkhidmatan penghantaran pos seperti mel biasa, kurier, pos ekspres dan bungkusan.

MAB berkata, ia komited untuk memberikan produk berkualiti kepada penumpangnya.

“Pelantikan katering baru untuk laluan London bagi pesawat A350 membolehkan kami memberi pilihan kepada pelanggan sambil menyediakan kesinambungan perniagaan dan pengurusan risiko yang lebih baik,” katanya.

Katering utama MAB, Brahim’s SATS Food Services Sdn Bhd pula terus memenuhi keperluan dalam pesawat syarikat penerbangan nasional itu untuk sektor lain termasuk pesawat A380 bagi laluan London-Kuala Lumpur.

Syarikat penerbangan nasional itu berkata, ketika ini ia mempunyai dua penerbangan harian ke London dari Kuala Lumpur, menggunakan A350 dan A380.

Pos Aviation yang enggan mengulas lanjut apabila dihubungi berkata, butiran lanjut kontrak adalah sulit dan rahsia.

Syarikat itu ketika ini menyediakan katering untuk syarikat penerbangan seperti Air China, Bangkok Airways, Etihad Airways, Royal Dutch Airlines KLM, Qatar Airways dan Saudi Arabian Airlines.

Berdasarkan laman web Pos Aviation, syarikat itu mempunyai pasukan tukang masak berpengalaman yang bekerjasama rapat dengan pelanggan penerbangan untuk menghasilkan masakan Malaysia dan antarabangsa.

“Kami bangga dengan katering kami bagi Kelas Pertama dan Perniagaan, Sewaan Khas VVIP sehingga perkhidmatan jet peribadi.

“Kemudahan kami direka dan ditempatkan secara strategik untuk memastikan aliran operasi lancar yang memberikan prestasi tepat pada masanya kepada pelanggan kami,” katanya.

MAB menerima pesawat pertama A350 pada akhir November tahun lalu, pajakan daripada pemajak pesawat yang berpangkalan di Los Angeles, Air Lease Corp di bawah program 12 tahun.

Pesawat A350 memulakan penerbangan sulungnya ke London pada pertengahan Januari tahun ini.

A350 mempunyai jumlah kapasiti 286 tempat duduk, merangkumi empat dalam Kelas Pertama, 35 Kelas Perniagaan dan 247 Kelas Ekonomi.

MAB berkata, empat pesawat A350 akan digunakan bagi penerbangan London-KL menggantikan A380.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan nasional itu belum menentukan destinasi bagi dua lagi pesawat A350.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 4:01 AM