BERNAMA

Kuala Lumpur: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB), antara lapangan terbang paling sibuk di dunia, menasihati penumpang supaya tidak datang ke lapangan terbang itu melainkan jika benar-benar perlu, berikutan keadaan cuaca buruk yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

DXB mengemas kini laman webnya pada Rabu untuk menangani gangguan berkaitan cuaca, menyatakan bahawa penerbangan masih ditangguhkan dan dialihkan.

"Sila hubungi syarikat penerbangan anda untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan anda.

"Kami sedang berusaha untuk memulihkan operasi secepat mungkin dalam keadaan yang sangat mencabar," menurut DXB.

Memetik laporan media, UAE menyaksikan taburan hujan paling lebat direkodkan dalam tempoh 75 tahun iaitu dari lewat Isnin hingga Selasa malam, melepasi rekod sebelumnya sejak permulaan pengumpulan data pada 1949.

Hujan lebat itu menjejaskan banyak wilayah di seluruh negara itu.

Sementara itu, syarikat penerbangan dilaporkan mengalami gangguan dalam jadual penerbangan mereka.

Emirates Airline berkata ia menggantung daftar masuk bagi penumpang yang berlepas dari DXB dari 8 pagi pada 17 April hingga tengah malam, disebabkan oleh cabaran operasi yang disebabkan oleh cuaca buruk dan keadaan jalan raya.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu berkata penumpang yang tiba di Dubai dan sudah dalam transit akan terus diproses untuk penerbangan mereka.

"Pelanggan boleh menjangkakan kelewatan untuk berlepas dan ketibaan, dinasihatkan untuk menyemak jadual penerbangan terkini di https://emirat.es/flightstatus," dalam hantarannya di platform X.

Sementara itu, flydubai menggantung sementara penerbangan yang berlepas dari Dubai sepanjang petang 16 April hingga 10 pagi (waktu tempatan Dubai) pada 17 April.

Jurucakap flydubai seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Emirates (WAM) berkata keadaan cuaca buruk di seluruh UAE telah mengakibatkan gangguan yang ketara terhadap operasi syarikat penerbangan itu di DBX.

"Akibatnya, banyak penerbangan flydubai telah dibatalkan atau mengalami kelewatan. Keadaan cuaca buruk dijangka berterusan sepanjang malam dan hingga esok (17 April).

"Semua penerbangan flydubai yang dijadualkan berlepas dari Dubai petang ini (16 April) dibatalkan berkuat kuasa serta-merta sehingga 10 malam (waktu tempatan Dubai) pada 17 April. Dalam tempoh ini, penumpang yang destinasi terakhir mereka bukannya Dubai, tidak akan diterima untuk perjalanan.

"Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan mengemas kini jadual kami dengan sewajarnya. Ini akan membolehkan kami memulihkan kesinambungan operasi dengan lebih cekap dan menampung penerbangan yang tiba dari seluruh rangkaian jika boleh," kata jurucakap itu seperti dilaporkan WAM.

Etihad Airways dalam kenyataannya yang dilaporkan WAM berkata beberapa penerbangan mungkin ditangguhkan kerana keadaan cuaca buruk.

"Pelanggan dinasihatkan untuk sentiasa memeriksa etihad.com untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai perlepasan penerbangan mereka dan keluar awal untuk perjalanan ke lapangan terbang.

"Etihad akan bekerjasama rapat dengan penumpang yang terjejas oleh sebarang gangguan untuk membantu mereka dengan perubahan jadual perjalanan dan sampai ke destinasi terakhir mereka.

"Keselamatan dan keselesaan pelanggan dan anak kapal merupakan keutamaan nombor satu kami dan kami kesal dengan sebarang kesulitan yang timbul," menurut kenyataan syarikat penerbangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 6:55 PM