Kuala Lumpur: Aksi lebih meyakinkan diharap mampu dipamerkan pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei (gambar) apabila memulakan kempen acara perseorangan Kejohanan Badminton Remaja Asia bermula esok di Bangkok, Thailand selepas mendapat bye pada pusingan pertama hari ini.

Pengurus Pembangunan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Kwan Yoke Meng berkata, selepas mempamer aksi terbaik dalam acara berpasukan, beliau mahu aksi konsisten itu diteruskan oleh Jin Wei serta barisan pemain lain dalam acara individu.

Jin Wei direhatkan pada perlawanan suku akhir bertemu China selepas mengalami kekejangan otot ketika bergandingan dengan M Thinaah pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Indonesia.

Sebelum itu, Jin Wei bekerja keras sebelum tewas menerusi permainan tiga set di tangan Gregoria Mariska.

“Walaupun Jin Wei serta pasangannya menang di set pertama dalam acara beregu, dia terpaksa menarik diri kerana mengalami kekejangan otot selepas bekerja keras dalam acara perseorangan.

“Saya mengambil keputusan untuk merehatkannya ketika bertemu China untuk membolehkannya cergas sepenuhnya dan fokus dalam acara individu.

“Saya harap semua pemain termasuk Jin Wei akan meneruskan aksi terbaik dalam acara individu,” kata Yoke Meng.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 10:51 AM