Penduduk Islam Jakarta yang mengadakan demonstrasi  baru-baru ini, membantah kenyataan Gabenor Jakarta yang dianggap menghina al-Quran.
Penduduk Islam Jakarta yang mengadakan demonstrasi baru-baru ini, membantah kenyataan Gabenor Jakarta yang dianggap menghina al-Quran.
BERNAMA

Jakarta: Rakyat Malaysia dinasihat agar tidak memasuki Jakarta Jumaat ini, bagi mengelak terperangkap dalam demonstrasi rakyat Indonesia yang dijadual berlangsung di sekitar ibu kota itu.

Duta Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, kedutaan sedang memantau perkembangan semasa mengenai demonstrasi berkenaan dari semasa ke semasa.

Katanya, bagi rakyat Malaysia yang berada di Jakarta, mereka dinasihat menjaga diri dan keselamatan keluarga masing-masing dengan mengelak berada di ibu kota itu, terutama di sekitar Monumen Nasional (Monas), Masjid Istiqal, Balaikota, Tangerang dan Bekasi.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang masih perlu ke Jakarta dinasihat mendaftar dengan kedutaan menerusi perkhidmatan dalam talian e-konsular di www.kln.gov.my.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular pula diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia +62 215224947 atau +62 81380813036 pada waktu pejabat.

“Kaunter Imigresen di kedutaan ditutup Jumaat ini dan kita minta semua rakyat Malaysia yang berada di Jakarta supaya tidak mengunjungi kawasan berlakunya demonstrasi," katanya.

Pihak berkuasa Indonesia menjangka lebih 100,000 rakyat Indonesia menyertai demonstrasi besar-besaran di Jakarta bagi mendesak Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok dikenakan tindakan undang-undang kerana mempertikaikan ayat al-Quran dalam surah Al Maidah.

Ahok dalam kempennya di Pulau Seribu pada bulan lalu, mempertikaikan ayat al-Quran yang meminta umat Islam supaya tidak memilih orang bukan Islam menjadi pemimpin mereka.

Beliau yang akan mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Februari 2017 bagaimanapun membuat permohonan maaf secara terbuka kerana menyinggung perasaan umat Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2016 @ 6:33 PM