MEMILIH juadah otak-otak.
MEMILIH juadah otak-otak.
Sudirman Mohd Tahir


Sepanjang lima tahun berada di Malaysia, pelakon dan model, Daler Yusof, 24, seronok menyambut Ramadan di sini.

Bagi pelakon berdarah kacukan Uzbekistan di sebelah bapa dan Melayu di sebelah ibunya ini, pengalaman dilalui tidak seperti ketika berada di negara sendiri.

“Apa saya boleh katakan, menyambut Ramadan di Malaysia lebih mudah dan meriah. Berbanding di tempat kelahiran saya di Uzbekistan, susah nak melihat suasana seperti di sini. Selain masa berpuasa yang panjang, usaha menghidupkan setiap malam Ramadan itu kurang.

“Lebih menyeronokkan, saya dapat menunaikan solat Tarawih di lokasi berbeza pada setiap malam. Pada masa sama, saya dapat melihat bagaimana kesungguhan masyarakat di sini menjalani ibadah puasa,” katanya.

Daler yang juga pelakon drama Tuan Anas Mikael berkata, sepanjang di sini dia tidak pernah melepaskan peluang ke bazar Ramadan.

Kali pertama ke bazar, Daler sudah jatuh cinta dengan situasi di situ sehingga menjadikan ia sebagai rutin sepanjang Ramadan.

“Kalau di tempat asal saya memang tidak ada bazar seperti di sini. Apa yang ada cuma pasar biasa. Disebabkan itu, kali pertama saya berkunjung ke bazar Ramadan saya terkejut apabila melihat pelbagai juadah yang dijual.

“Sejak itu, boleh dikatakan setiap hari saya ke bazar. Malah, juadah yang menjadi pilihan saya juga bertukar-tukar. Paling membuatkan saya rambang mata adalah kuih-muih yang dijual. Tidak mustahil saya boleh berbelanja sehingga RM50 pada setiap kali ke situ,” katanya.

Menurut Daler, selain kuih-muih, makanan yang menjadi kesukaannya adalah ayam madu dan sate.

“Walaupun saya berbelanja banyak, belum pernah berlaku pembaziran. Sekiranya tak habis dimakan ketika berbuka, saya menyimpannya untuk waktu bersahur pula. Saya jenis yang tak cerewet dalam soal makan, jadi tidak menjadi masalah.

“Pada saya, selagi makanan itu belum basi, ia masih boleh dipanaskan. Bukan saya seorang, malah rakan serumah lain pun berbuat perkara sama,” katanya.

Selain berkunjung ke bazar Ramadan, Daler juga sesekali memasak di rumah atau berbuka puasa di luar.

Pada masa sama, Daler juga menjadikan Ramadan ini sebagai peluang untuk berdiet.

Berkongsi mengenai aktiviti seninya sepanjang Ramadan ini, Daler memilih bercuti bagi memberi fokus kepada ibadah.

“Sebelum berpuasa saya baru selesai menjalani penggambaran drama Lip Lap Raya. Drama ini sedang ditayangkan di saluran Hypp TV. Insya-Allah selepas Aidilfitiri saya akan memulakan penggambaran filem pertama.

“Jika diikutkan, saya lebih suka bekerja pada Ramadan. Bukan apa, kita tak akan sedar masa itu berlalu. Kalau banyak berehat timbul rasa bosan pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 9:56 AM