REBUT peluang yang diberikan untuk menambah pelbagai pengetahuan yang tidak hanya boleh diperoleh menerusi buku semata - mata. - Gambar hiasan
REBUT peluang yang diberikan untuk menambah pelbagai pengetahuan yang tidak hanya boleh diperoleh menerusi buku semata - mata. - Gambar hiasan
PROGRAM mobiliti pelajar membuka peluang perkongsian maklumat antara institusi dalam pelbagai aspek.
PROGRAM mobiliti pelajar membuka peluang perkongsian maklumat antara institusi dalam pelbagai aspek.

Oleh Ruhaiza Rusmin

Pengalaman penulis ketika mengikuti program pengantarabangsaan membabitkan institusi pengajian tinggi tempatan ke luar negara membuktikan pentingnya mobiliti siswa dipertingkatkan.

Peluang itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia membentuk diri siswa menjadi manusia yang lebih berkeyakinan selain memenuhi kehendak industri.

Namun, ada menganggap program mobiliti pelajar hanya sia-sia dan tidak dapat membantu pelajar menambah nilai serta kualiti sedia ada?

Adakah kesalahan itu terletak kepada universiti atau pelajar sendiri yang gagal memanfaatkan peluang diberi?

Pengarah Pejabat Perhubungan dan Pertukaran Antarabangsa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hasleena Mohamad Arsad berkata, program mobiliti pelajar adalah konsep pembelajaran yang direka khusus bagi membantu bakal graduan memperkasakan dan meningkatkan nilai diri.

Beliau berkata, program itu membantu menjadi pemangkin kepada pelajar untuk mempelbagaikan kemahiran sekali gus bersedia menakluki dunia kerjaya.

"Program ini amat bermanfaat kepada siswa yang bijak menggunakan peluang diberikan.

"Tapi, jika melihat program itu sebaliknya, mereka hanya dapat keseronokan semata-mata," katanya.

Program Mobiliti Siswa memberi peluang kepada pelajar menimba pengalaman belajar ke luar negara.

Walaupun program mobiliti pelajar masih baru di negara ini, penambahbaikan boleh dilakukan dari semasa ke semasa kerana ia penting bagi membentuk nilai diri dan sosio budaya.

"Program ini sudah lama dipraktikkan di negara luar kerana testimoni mendapati ia memberi kelebihan kepada siswa merasa pengalaman dan ilmu baru yang tidak terkandung dalam buku atau dewan kuliah.

"Program ini boleh membuka mata dan menyentuh hati siswa kerana me­lihat sendiri situasi di depan mata.

"Pengalaman melalui praktikal adalah lebih baik berbanding jika mereka belajar teori semata-mata," katanya.

Menurutnya, ilmu komunikasi memang sukar kerana berkait rapat dengan kemahiran lain seperti keyakinan diri.

"Jika siswa menggunakan peluang diberikan itu untuk memperbaiki kelemahan, mereka yang mendapat untung.

"Mereka bukan saja berkomunikasi tapi memperbaiki kelemahan diri dalam suasana berbeza," katanya.

Beliau mengakui pengetahuan siswa hari ini mengenai isu semasa agak terbatas, justeru program ini boleh menampung kekurangan itu.

"Ia juga memberi peluang mereka belajar melaksanakan tanggungjawab, contohnya mencari dana.

"Institusi boleh memberi pelajaran secara teori tapi praktikal perlu dicari dan dirasai siswa sendiri," katanya.

Kesimpulannya, beberapa pendekatan baru perlu diperkenalkan agar program tidak membosankan atau selari dengan permintaan semasa.

"Antaranya mantapkan modul perkongsian maklumat antara dua institusi menerusi aktiviti berbentuk ilmiah bersama mereka yang pakar dalam bidang masing-masing dan memperluaskan lawatan ke industri.

"Jika mereka dapat merasai pengalaman sebenar, tiada sebab program ini dipandang serong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:45 AM