Shuk Sahar. Foto Rohanis Shukri
Shuk Sahar. Foto Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Petaling Jaya : Dua tahun menyepi dari radar industri hiburan tanpa tahu dirinya 'digam' atau tidak, pelawak dan pengacara sensasi, Shuk Sahar, 39, menyifatkan rakyat di negara ini tetap bersikap pemaaf.

Shuk atau namanya sebenarnya, Mohammad Shukri Mohammed Sahar berkata, ia berikutan dia dan isterinya, Fara Salleh kini sudah diterima baik masyarakat, termasuk tidak lagi menerima kecaman teruk daripada netizen di media sosial.

"Di Malaysia ini, saya tahu rakyat Malaysia memang kadang-kadang bila berlaku sesuatu mereka akan marah, tapi bila kita buat sesuatu kembali membetulkan keadaan, rakyat Malaysia senang menerima, memaafkan.

"Jadi, apabila saya dan Farah ambil keputusan untuk kita 'settle down', kita kahwin, kita buat saja benda yang betul, kalau ada jodoh kita panjang, selama-lamanya. Jadi, saya rasa penerimaan orang di situ dah makin okay," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Shuk berkahwin kali kedua dengan wanita pilihannya iaitu Fara pada November tahun lalu dalam majlis pernikahan sederhana yang dihadiri keluarga dan saudara terdekat.

Menurut Shuk, kalau dulu apabila orang nampak dia ada bersama Fara, pasti akan dikecam, tapi sekarang kalau ada 'post' (hantaran) di media sosial pun dah tak ada kecaman.

"Majlis kahwin kami pada November tahun lalu pun, saya buat 'simple' saja, sebab saya tahu banyak hati yang mungkin saya tak boleh puaskan. Jadi, saya ambil keputusan kita jalankan benda yang baik.

"Kalau ada rezeki lebih selepas ini, mungkin kami akan buat majlis untuk meraikannya, Insya Allah," katanya mengakui mereka belum lagi ada rezeki untuk menimang cahaya mata, namun tidak merancang.

Shuk sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial, Rossa Sera pada 2015 dan mereka dikurniakan dua anak iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assiyfatu Aimi, 5.

Bagaimanapun disebabkan kontroversi kecurangan yang menghambat Shuk, membuatkan mereka akhirnya sah bercerai talak satu pada 22 Mac tahun lalu selepas pulang dari Tanah Suci Makkah mengerjakan umrah bersama.

Sementara itu, bagi karier seninya pula Shuk akan muncul di dalam program Dol's Podcast bersama dua rakan baiknya, Shuib dan Fizie yang sebelum ini mereka pernah bergabung mengendalikan segmen Geng Pagi Hot di Hot FM.

Dol's Potcast sebanyak lapan episod akan memaparkan kisah pengalaman menarik daripada tetamu undangan diundang ke studio yang dijangka bersiaran lebih sejam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 6:42 PM