Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid
Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dilantik sebagai Ahli Program CEO@Faculty Programme 1.0: Learn from The Pros di Universiti Multimedia (MMU).

Turut dilantik sebagai ahli program itu ialah Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan surat pelantikan kedua-dua tokoh itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Robiah Yunus dengan tempoh pelantikan bermula 1 Februari lalu hingga 31 Januari 2024.

Pelantikan itu juga mendapat persetujuan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sekali gus bagi menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025.

"KPT yakin kedua-dua tokoh ini dapat membantu melonjakkan pengajian tinggi negara ke tahap lebih tinggi dengan kepakaran dan pengalamannya selain menjadi pencetus kepada lebih ramai lagi tokoh industri untuk terbabit dalam program ini," menurut kenyataan itu.

Program CEO@Faculty adalah usaha positif KPT dalam memberi pendedahan dunia sebenar pekerjaan melalui sudut pandangan CEO/tokoh industri,

Sementara itu, Presiden MMU, Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su'ud berkata, pelantikan itu adalah penghormatan besar buat universiti berkenaan di mana ia menunjukkan kerajaan menghargai dan mempercayai MMU sebagai pemain strategik dalam rancangan pembangunan jangka panjang negara.

"Kedua-dua tokoh ini adalah nama besar dalam industri Malaysia, dan pelantikan ini menjadikan mereka mudah ditemui oleh pelajar dan alumni MMU.

"Ia akan memberi rangsangan besar kepada usaha pembangunan pelajar kerana mereka berpengalaman luas yang bukan sahaja dalam teori, tetapi juga dalam cara menjadikan teori tersebut ke dunia realiti," katanya.

Program CEO@Faculty adalah salah satu inisiatif untuk merealisasikan hasrat PPPM dalam menghasilkan graduan yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang melalui perkongsian pengetahuan, pengalaman dan kepakaran antara ahli akademik dan industri.

Program itu juga diharap dapat mewujudkan hubungan yang baik di kalangan pakar industri, penyelidik, pensyarah dan pelajar di universiti tempatan.

Antara pengisian program yang bakal diadakan ialah syarahan, perkongsian ilmu, forum, penyelidikan dan inovasi, lawatan sambil belajar ke syarikat-syarikat dalam industri atau agensi berkaitan dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Julai 2022 @ 3:35 PM