Aizat Sharif


Kangar: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan butiran cadangan penyediaan elaun kos sara hidup pelajar dan guru penolong kanan tingkatan enam untuk dibentangkan kepada kerajaan kelak.

Ini termasuk juga cadangan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya masih berada dalam peringkat penelitian dalam memperincikan cadangan berkenaan pada waktu ini.

"Kita masih lagi dalam peringkat memperincikan cadangan itu dan ini sebenarnya adalah susulan hasil daripada komitmen KPM dan kerajaan untuk menaikntaraf dan memberikan penjenamaan semula kepada tingkatan enam.

"Disebabkan itulah, tingkatan enam kini dikenali sebagai Pra Universiti dan ia adalah inisiatif yang kita hendak beri tumpuan. Kita mahu melihat pada sudut elaun dan peranan yang dimainkan pentadbiran Kolej Tingkatan Enam.

"Malah, cadangan ini juga memberi peranan besar terhadap peluang pendidikan ini kepada pelajar tingkatan enam ini diperluaskan dan dipertingkatkan kualitinya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Daurah Hadis 40 Imam Nawawi KPM Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Hotel Seri Malaysia, di sini hari ini.

Program turut dihadiri Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin dan Pengarah Pendidikan Perlis, Ros Aza Che Ariffin.

Katanya, cadangan ini kemudian akan diangkat ke peringkat belanjawan negara menerusi Kementerian Kewangan dalam melihat keperluan yang ada dalam cadangan berkenaan.

"Perkara ini (cadangan elaun sara hidup) bukanlah perkara asing dan ia sentiasa dilihat dengan perubahan semasa di samping perkara lain terutama membabitkan infrastruktur (Kolej Tingkatan Enam).

"Perkembangan perincian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kerana kita yakin pelajar tingkatan enam sekarang mempunyai potensi baik dan menjadi

"Perkembangan perincian (cadangan elaun sara hidup Tingkatan Enam) ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa kerana kita yakin pendidikan Tingkatan Enam sekarang mempunyai potensi baik dan menjadi salah satu akses pendidikan di negara ini," katanya.

Fadhlina turut menjelaskan bahawa terdapat peningkatan pelajar yang memasuki tingkatan enam dari tahun ke tahun.

"Setiap tahun boleh dikatakan meningkat cuma dari tahun lepas kita sudah perkenal inisiatif di mana pihak sekolah mempunyai autonomi dalam memilih mana jua pelajar untuk masuk dan ditawarkan ke peringkat tingkatan enam.

"Berbanding dahulu di mana semua pelajar yang tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) ditawarkan," katanya.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri majlis berkenaan yang membincangkan mengenai Hadis 40 Imam Nawawi yang turut dihadiri hampir 200 asatizah dalam kalangan guru Pendidikan Agama Islam KPM dari seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 7:23 PM
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap pada sidang media Majlis Perasmian Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat Kebangsaan Tahun 2024. FOTO BERNAMA
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap pada sidang media Majlis Perasmian Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat Kebangsaan Tahun 2024. FOTO BERNAMA