KEAKRABAN penuntut terjalin melalui program sosial.
KEAKRABAN penuntut terjalin melalui program sosial.
BEBAS melaksanakan aktiviti bersama penduduk.
BEBAS melaksanakan aktiviti bersama penduduk.
CITRA mengeratkan komuniti dengan penuntut.
CITRA mengeratkan komuniti dengan penuntut.
AKTIVITI bersama kanak-kanak.
AKTIVITI bersama kanak-kanak.
Fazurawati Che Lah


Konsep pembelajaran sepanjang hidup menjadi popular sejak 1990-an.

Ia menekankan kepentingan proses menimba ilmu yang sepatutnya berlaku sepanjang masa dan tidak terhad kepada zaman persekolahan ketika kanak-kanak atau remaja saja.

Malah konsep ini juga memfokuskan lokasi proses pembelajaran itu sendiri, ia juga tidak seharusnya terhenti di batas ruang bilik darjah semata-mata.

Pelbagai kaedah dikenal pasti bagi membantu proses ini, antara yang menariknya penggunaan program berbentuk kreatif merangsang aktiviti minda kanan dan dikatakan turut membantu pembangunan minda kiri lebih berbentuk logik.

Pusat Pencetus Bakat dan Latihan Industri (CITra) Universiti Malaya (UM) salah satu konsep menghubungkan pengajaran dan pembelajaran antara mahasiswa universiti dengan masyarakat setempat.

Melalui kaedah yang berstruktur, CITra ditubuhkan untuk mengurus, memantau serta mengendalikan Kursus Universiti dan Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) serta bertanggungjawab mengendalikan Kursus Jalinan Masyarakat, Kursus Elektif Luar Fakulti serta Latihan Industri.

Selain itu, CITra juga menyelaras aktiviti UCIE (University Community and Industry Engagement) dan bertindak sebagai penghubung antara warga universiti, komuniti dan industri di samping memupuk serta meningkatkan tanggungjawab sosial universiti (University Social Responsibility).

Usaha ini dilakukan CITra dengan mempertingkatkan pengetahuan dan mengadakan jalinan hubungan dengan pelbagai institusi, komuniti serta NGO melalui aktiviti jalinan masyarakat.

CITra juga menjadi Pusat Rujukan (Reference Centre) bagi kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia dan antarabangsa dalam pembangunan bakat penuntut yang seimbang, meningkatkan kualiti insan dan memenuhi kebolehpasaran kerja.

Mengulas lanjut, Pengarah CITra UM Prof Belinda Murphy berkata, sebagai supercentre, CITra menggalas tanggungjawab dalam memastikan setiap penuntut terbabit dalam aktiviti masyarakat yang memfokus kepada perkongsian ilmu dan manfaat di antara siswa serta komuniti setempat.

Katanya, hasrat ini dicapai melalui dua kursus wajib yang ditawarkan CITra iaitu kursus Jalinan Masyarakat (JM) dan Kursus Kokurikulum.

“Bagi penuntut yang mendaftar kursus kokurikulum, mereka diwajibkan terbabit dalam satu program yang dikenali sebagai Jalinan Universiti Bersama Komuniti (University Community Engagement) atau singkatannya UCE.

“Kedua-dua kursus ini mempunyai elemen pembelajaran yang berasaskan pengalaman bersama komuniti.

“Melalui JM dan UCE, siswa diberi peluang menyertai program bersama komuniti di lokasi tertentu. Kebiasaannya, program ini dijalankan di rumah anak yatim, rumah orang tua, pusat pembelajaran, sekolah di kawasan pedalaman, institusi yang menempatkan kanak-kanak istimewa dan pelarian seperti Rohingya dan sebagainya,” katanya.

Jelas beliau, melalui program ini, siswa memperoleh pendedahan dan pengalaman yang berharga bersama komuniti di samping dapat memupuk rasa prihatin dan tanggungjawab dalam diri.

Beliau berkata, sejak ditubuhkan pada September 2015, CITra sangat komited dalam melakukan transformasi agenda pendidikan kemahiran insaniah melalui pengajian formal berasaskan penglibatan bersama komuniti dan industri.

Katanya, CITra berperanan memastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (PPPM) dalam melahirkan pelajar yang berilmu, berbakat, holistik dan seimbang yang mempunyai mentaliti serta nilai kelas pertama.

“Selain itu, CITra menyediakan peluang dan platfom kepada penuntut untuk memupuk sikap kerohanian, ketinggian akhlak dan identiti nasional dengan menawarkan pelbagai kursus yang mempunyai unsur perluasan ilmu, berbilang serta merentas bidang.

“CITra juga memegang peranan sebagai pusat pengajian yang memperkasa siswa dengan kemahiran dan keupayaan beraras tinggi yang meningkatkan kebolehpasaran graduan di dalam industri.

“Pada masa sama, CITra menjadi sebuah ‘supercentre’ bagi menyelaras aktiviti di antara warga universiti, komuniti dan industri bagi tujuan memupuk serta meningkatkan University Social Responsibility (USR),” katanya.

Kata beliau, CITra turut menjadi peneraju agenda keusahawanan sosial bagi melahirkan pelajar beretika dan bertanggungjawab serta menjadi Pusat Rujukan kepada institusi pengajian tinggi dalam aspek pembangunan bakat pelajar yang seimbang.

Beberapa kejayaan turut diraih CITra antaranya pada 2015 memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Inovasi Sosial KPT 2015 yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi melalui model UCE bertemakan Alam Terkembang Jadikan Guru.

Selain itu sejak 2014, CITra menjadikan beberapa kampung di Wilayah Persekutuan Zon 6, Wangsa Maju sebagai Kampung Angkat yang terdiri daripada Kampung Puah Lembah, Kampung Banda Dalam, Kampung Puah Asal, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Haji Idris dan Kampung Sungai Mulia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2017 @ 3:03 PM