PEMINAT Perancis setia di belakang pasukan.
PEMINAT Perancis setia di belakang pasukan.

Paris: Selepas 12 bulan diselubungi isu serangan pengganas, pergolakan politik dan banjir, Perancis akhirnya mampu berbangga dengan kejayaan pasukan mereka di saingan Euro kali ini.

Ketika tuan rumah dan bintang sedang meningkat Antoine Griezmann serta rakan sepasukannya sudah bersedia untuk berdepan Cristiano Ronaldo dan Portugal untuk aksi final awal pagi esok, timbul kebimbangan dalam kalangan semua pihak.

Persiapan untuk Euro 2016 diselubungi dengan kebimbangan kejohanan itu akan menjadi sasaran pengganas dan atas faktor itu, beribu-ribu anggota polis bertugas hujung minggu ini untuk memastikan aksi final berlangsung aman.

Namun, kebimbangan itu setakat ini tidak dirasai, sebaliknya seluruh rakyat terus berada di belakang pasukan untuk mengulangi kejayaan 1998 ketika mereka memenangi Piala Dunia di halaman sendiri.

“Saya sangat gembira melihat orang ramai tanpa rasa takut bebas di tengah jalan,” kata Pierre Lefebvre, seorang penyokong yang meraikan kejayaan Perancis melakar kemenangan 2-0 ke atas Jerman.

Apabila bas yang membawa pasukan Perancis berlepas dari hotel ke venue, semakin ramai penyokong berkumpul untuk memberi sokongan, baik di Paris, Marseille atau Lille.

“Sebelum kami ke stadium, kami dapat saksikan orang ramai bersorak gembira dan ia pasti lebih meriah pada aksi final nanti,” kata ketua jurulatih Perancis Didier Deschamps selepas aksi separuh akhir.

“Selepas kerap menerima berita kurang menyenangkan termasuk serangan pengganas dan keadaan ekonomi tidak menentu, saingan Euro mampu mengubat luka hati rakyat Perancis,” kata ketua Institut Mengundi IFOP, Jerome Fourquet.

Rakyat Perancis dilihat sudah mula menyayangi pasukan berwajah baharu mereka selepas berdepan skandal dan mempamer aksi hambar sebelum ini.

Pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, pemain mogok dan enggan turun dari bas sekali gus mencetuskan perbualan di seluruh dunia.

Hanya lima pemain kekal dalam skuad kali ini daripada 23 yang terbabit dalam insiden 2010 itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:04 AM