BERAYA di kampung isteri di Masjid Tanah, Melaka.
BERAYA di kampung isteri di Masjid Tanah, Melaka.
Ridzuan Abdul Rahman


Lima tahun meraikan Aidilfitri di sebalik tembok besi, tiada kata-kata dapat menzahirkan rasa sayu di hati. Hanya rakan senasib memahami apa yang dirasai dan menjadi penawar duka.

Kini, penyanyi Ameng bersyukur dapat menyambut hari kebesaran umat Islam ini bersama keluarga tercinta.

Pembebasannya daripada hukuman penjara lapan tahun pada 14 Jun lalu membawa makna tersendiri kerana Ameng, 48, dapat menyambut Aidilfitri bersama isteri tercinta, Sabariah Zakaria, 46, dan anak mereka Wan Amar Haikal, 9.

Paling mengujakan, Ameng bebas menziarahi sanak-saudara tanpa pengawasan pegawai penjara yang sentiasa memerhati pergerakannya.

“Saya bercuti sejak 29 Jun lalu sehingga 8 Julai (hari ini) untuk sambut Aidilfitri sepuas-puasnya dengan keluarga. Keesokannya saya akan menjayakan persembahan rumah terbuka di Ipoh.

“Pada 20 hingga 24 Julai pula, saya akan terbabit dengan beberapa program di Kuantan, Pahang dan pada 26 Julai saya akan menjayakan program anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Sekarang saya sibuk dengan nyanyian dan program ilmiah. Ia dunia baru saya dan belum pernah saya lalui sebelum masuk penjara,” katanya.

Ameng memilih meraikan Aidilfitri di kampung isterinya di Masjid Tanah, Melaka malah bersyukur hubungan dengan keluar mentua semakin rapat.

“Aidiladha nanti saya balik ke pantai timur pula. Layanan keluarga Sabariah sangat mesra dan mereka sudah melupakan apa yang berlaku.

“Seronoknya kali ini saya beraya dengan memakai pakaian yang dihadiahkan beberapa pereka terkenal serta rakan artis dan tak perlu membeli lagi.

“Terima kasih kepada Den Wahab yang menghadiahi baju Melayu buat saya dan Haikal. Begitu juga dua set jubah untuk kami sekeluarga dihadiahkan Heliza Helmi, Diana Amir dan Salima ketika saya terbabit dalam program Himpunan Artis Sayang Al Quran pada Ramadan lalu.

“Saya juga menerima baju Melayu berwarna hijau yang ditaja Kementerian Dalam Negeri (KDN). Sepatutnya baju Melayu ini dipakai dalam satu majlis anjuran mereka tetapi ia dibatalkan.

“Jadi, bolehlah saya pakai pada Syawal ini,” katanya.

Istimewanya, Ameng turut mempraktikkan ilmu masakan yang dipelajari di penjara untuk memasak juadah raya.

“Seorang rakan di penjara pernah terbabit dalam program masakan popular. Sepanjang bersamanya, dia banyak mengajar cara memasak kari, rendang dan macam-macam lagi.

“Sebaik dibebaskan, saya cuba masak kari kepala ikan dan mendapat pujian penduduk kampung. Saya juga boleh masak rendang kerang, nasi dagang serta buat makanan pencuci mulut seperti karamel,” katanya.

Kenangan sambut Ramadan dan Aidilfitri dalam penjara sukar dilupakan

Mengimbas pengalaman berpuasa dan menyambut lebaran dalam penjara, Ameng berkata, suasana ketika Ramadan lebih meninggalkan kesan berbanding Aidilfitri.

“Bulan puasa hati jadi sayu. Saya hanya ikut apa yang ditetapkan dan tak boleh buat perkara yang biasa saya buat seperti beli juadah di bazar Ramadan.

“Pagi Aidilfitri, berbeza pula kerana saya seronok solat Aidilfitri dengan rakan. Kami juga bergotong-royong memasak aneka juadah.

“Pada raya ketiga, keluarga boleh menghubungi kami menerusi telefon dan pada raya ke-10, barulah diadakan program Jalinan Kasih apabila keluarga dibenarkan melawat dan makan bersama. Selalunya Sabariah dan keluarganya yang datang,” katanya.

Ameng juga sering menyanyi untuk program itu dan semua itu kini terpahat utuh di ingatannya.

Aidilfitri ini juga melakar memori terindah kerana Ameng kembali memiliki kasih sayang dua anaknya, Wan Az Aleesa, 20, Wan Azevanatassha, 15, hasil perkahwinan dengan penerbit Datuk A Aida.

“Saya tak lupa bagi duit raya kepada mereka. Lebih mengharukan, mereka datang cari saya selepas saya dibebaskan. Saya juga bercadang ganti hadiah hari jadi mereka sepanjang lima tahun dipenjara.

“Saya puji Aleesa kerana ada semangat kekeluargaan yang tinggi. Dia berusaha mencari anggota keluarga saya dan ambil inisiatif ke Terengganu dan Kelantan untuk merapatkan hubungan dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 6:23 AM