Mohd Hanafis Abdul Haris


Kluang: "Syukur Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Saya seperti hidup semula, malah apa yang anda lihat ini adalah Ameng yang baru, " kata vokalis kumpulan Spring Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 48.

Selepas lima tahun dipenjarakan Ameng akhirnya dibebaskan dari Penjara Kluang 12.15 tengah hari tadi.

Pembebasan Ameng disambut oleh isterinya Sabariah Zakaria, 46, bersama anaknya Wan Amar Haikal, 9, dihadapan pintu utama penjara.

Malah, sejurus dibebaskan Ameng kelihatan sebak dan mengalirkan air mata terharu sebaik melihat kehadiran keluarganya yang setia menunggu tarikh penting berkenaan.

Menurut Ameng, pengalaman dipenjarakan selama lima tahun empat bulan banyak mengajarnya mengenai erti kehidupan, malah hukuman perit yang dijatuhkan membuatkan dia insaf dan amat menyesal.

"Cukuplah dengan Ameng yang lama kerana kehidupan baru perlu diteruskan.

Saya menyesal dan insaf malah sebak lebih-lebih lagi melihat kesetiaan isteri dan anak yang menyayangi saya sepenuh hati dan tidak pernah sekali pun pernah melupakan saya.

"Hidup dan mati saya selepas ini hanya untuk keluarga," katanya yang akan pulang ke rumah keluarganya di Melaka bagi meneruskan Ramadan dan menyambut lebaran nanti.

Ameng sebelum ini dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 atas tiga kesalahan termasuk dua kes memiliki dadah.

Namun hukuman itu dipendekkan berikutan kelakuan dan disiplin cemerlang yang ditunjukkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 1:17 PM
AMENG Spring bersama isteri dan anaknya. FOTO Syarafiq Abd Samad
AMENG Spring bersama isteri dan anaknya. FOTO Syarafiq Abd Samad