Ameng bersama isteri dan anak. FOTO HM
Ameng bersama isteri dan anak. FOTO HM
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Walaupun sengsara akibat menjalani hukuman penjara dan disebat, penyanyi Ameng mengakui hikmahnya cukup besar kerana dia kini boleh menguasai bacaan al-Quran.

Ameng yang juga bekas penyanyi kumpulan Spring berkata, jika tidak dia hanya tahu membaca al-Quran secara asas serta tidak memahami maksudnya.

"Perkara ini tidak pernah tertinggal diamalkan sejak saya dipenjarakan. Kita boleh membacanya dan kemudian berhenti, selepas itu boleh menyambung kembali bacaan asalkan ia dihabiskan sebelum masuk waktu Maghrib," katanya.

Ameng berkata, dia juga tidak berniat untuk menunjuk-nunjuk atau riak apabila video dia sedang membaca al-Quran yang dimuat naik isterinya, Sabariah Zakaria di Facebook, Jumaat lalu mendapat pujian ramai.

Selain orang ramai, golongan artis seperti Zizan Razak dan Ezad Lazim turut memuji cara bacaannya, malah turut meminta Ameng mengajar mereka.

“Saya tidak berniat menunjuk-nunjuk membaca al-Quran, sebaliknya saya memang mengamalkan membaca surah Al-Kahfi setiap Jumaat kerana ia amalan dan sunnah Rasulullah SAW,” katanya.

Ameng berkata, dia menyambut baik dan berbesar hati apabila ditawarkan untuk mengajar mereka membaca al-Quran, tetapi ia belum boleh dimulakan lagi.

Menurutnya, dia memang menerima banyak pelawaan daripada rakan-rakan artis yang memintanya mengajar al Quran dan sedang menimbangkan secara mendalam.

“Saya memang boleh mengajar dan tidak keberatan berbuat demikian. Bagaimanapun masalahnya, buat masa ini saya tinggal di Melaka dan terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk memenuhi aktiviti seni terutamanya Gegar Vaganza musim ketiga.

"Buat masa ini biarlah saya tinggal di Melaka sehingga hujung tahun. Apabila selesai urusan perpindahan sekolah anak saya, Wan Amar Haikal, 9, barulah saya akan menetap di Kuala Lumpur dan mengajar sesiapa yang berminat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2016 @ 7:33 PM