AMENG terharu ketabahan, pengorbanan isteri selama dia di penjara.
AMENG terharu ketabahan, pengorbanan isteri selama dia di penjara.
Ridzuan Abdul Rahman


Kerana Budi Ku Jatuh Hati. Inilah judul lagu daripada album kelapan Spring pada 1998 yang membawa makna besar buat penyanyinya, Ameng.

Sebaik dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor, Selasa lalu, Ameng, 48, menujukan lagu ciptaan Lan Laga dan lirik Amran Omar ini khas buat isteri tercinta, Sabariah Zakaria, 46.

Baginya, ketabahan Sabariah berdepan dugaan yang dilalui dan sanggup menunggunya sangat menyentuh hatinya.

“Memanglah saya sayangkan dia. Perasaan cinta memang ada, tapi ketika itu jiwa saya ini jiwa rock. Tiada sifat romantis dalam diri saya.

“Nak jiwang-jiwang memang tiada sebab saya rocker. Dulu saya selalu abaikan dia. Sabariah dikira jatuh ke tangga nombor dua atau tiga kerana saya lebih utamakan kawan-kawan. Itu yang berlaku dulu sebenarnya.

“Saya nyanyikan lagu ini dahulu sekadar untuk hiburan semata-mata, tapi sekarang apabila berlaku peristiwa ini, saya tengok pengorbanan Sabariah sangat dahsyat. Saya sendiri tak jangka dia boleh bertahan menempuh ujian ini. Dia juga tak anggap semua ini berpunca daripada kesalahan saya,” katanya kepada RAP.

Ameng berkata, dia juga kagum dengan ibu mentuanya Maimon Dalip yang langsung tidak marahkannya.

“Dia datang jumpa saya buat kali pertama dan langsung tak marahkan saya. Dia kata ini bahagian saya dan cubaan hidup saya. Dia minta saya tabah dan sentiasa kuatkan diri berdepan ujian,” katanya.

Ameng berkata, dia juga melihat kebanyakan lagu-lagu Spring seperti Persada Cintaku ada kena-mengena dengan hidupnya.

“Liriknya hidup terabai masa, selama ini buta mata, tak tahu menilai mana intan dan mana permata, semuanya ada berkaitan dengan apa yang berlaku pada saya.

“Lagu Butakah Cinta pula ibaratnya lagu Sabariah untuk saya. Liriknya berapa kali terluka pun masih menunggu memang kena dengan dia.

“Rupa-rupanya lagu-lagu ini ada ‘bahayanya’ juga. Kita tak tahu perancangan Allah. Mungkin benda itu dah terjadi tapi kita tak nampak hikmahnya,” katanya.

Berbalik kepada kerjaya seninya, Ameng sudah merancang menghasilkan album khas yang turut menampilkan tiga anaknya iaitu Wan Az Aleesa, 20, Wan Azevanatassha, 15, dan Wan Amar Haikal, 9.

“Saya sudah ada lagu yang sesuai untuk mereka. Asalnya lagu ini permintaan sebuah NGO (badan bukan kerajaan) dan akan digunakan dalam program motivasi. Saya pula kebetulan ada lagu-lagu begini.

“Saya memang ada buat lagu untuk Aleesa. Dia sangat minat menyanyi. Anak kedua saya kurang berminat menyanyi, tapi menurut kata kakaknya, dia boleh menyanyi dan boleh rap. Haikal juga boleh menyanyi. Kebetulan lagu dalam simpanan saya sesuai untuk kanak-kanak dan kena dengan semua golongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 7:55 AM