Ameng
Ameng
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Dalam penjara tak ada muqaddam yang ditulis dalam rumi. Jadi, untuk belajar, saya tulis semula dalam rumi. Saya mulakan dari awal."

Itu kata penyanyi, Ameng menceritakan pengalamannya belajar membaca al-Quran di dalam penjara satu ketika dulu.

Ameng berkata, sebelum dipenjarakan, dia langsung tak tahu membaca al-Quran.

"Saya buta al-Quran. Saya orang Terengganu, tapi jiwa Amerika. Masuk dalam (penjara), baru nak belajar alif, ba, ta," katanya.

Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail berkongsi perkara itu menerusi panggilan video secara langsung bersama pelakon, Datuk Rosyam Nor, baru-baru ini.

Dalam video sama yang dimuat naik di saluran YouTube Suhan Channel, Ameng turut berkongsi mengenai makanan yang disediakan di dalam penjara di mana ia sebenarnya amat berkhasiat.

"Dalam penjara, bukan makanan teruk tapi cuma tak ada pilihan sebab makanan sama. Tapi, makanan itu berkhasiat. Contohnya ikan dan sayur, semuanya terpilih. Kebanyakannya berprotein. Minuman tak ada gula. Makanan pula direbus," katanya.

Ameng juga mengajak Rosyam untuk bekerjasama dan membuat lawatan ke penjara serta mengadakan bengkel seperti lakonan dan penulisan skrip.

Ameng pernah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dengan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 12 April 2011 kerana kesalahan penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, hukuman itu dipendekkan kerana kelakuan dan disiplin cemerlang Ameng sepanjang dalam tahanan hingga dia dibebaskan dari Penjara Kluang, Johor pada 14 Jun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 4:09 PM