Daripada Aziman Rosdi di Hanoi

Jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh percaya anak buahnya sudah bersedia menyerap segala tekanan serta provokasi dalam dan di luar padang bagi aksi getir menentang Vietnam pada separuh akhir kedua Piala AFF di Stadium My Dinh, malam ini.

Berbekal kelebihan jaringan tempat lawan kini milik Vietnam hasil kemenangan 2-1 di Shah Alam Ahad lalu, Malaysia bukan hanya berdepan corak permainan pantas tuan rumah sebaliknya perlu menyerap tekanan sorakan padu 40,000 penonton tempatan.

Insiden keganasan penyokong pada pertemuan pertama menambahkan bahang pertemuan itu namun Dollah, 51, yang ditemui semalam tidak bimbang dengan situasi itu.

“Saya tidak khuatir (provokasi) kerana pemain kita cukup berpengalaman dan sudah biasa beraksi di depan penyokong ramai. Pihak keselamatan pasti menjaga kita dan saya percaya pemain boleh fokus,” katanya.

Menang 1-0 ataupun seri tidak cukup untuk membawa Harimau Malaya, juara 2010 mara ke final dan Dollah mengarahkan anak buahnya bangkit selepas aksi hambar di Shah Alam.

Bagi misi hidup dan mati itu, bekas penyerang kebangsaan yang membantu negara muncul naib juara edisi pertama 1996 itu sedar beliau perlu berani membuat rombakan dalam kesebelasan utamanya.

Berikutan kembalinya kapten dan pertahanan tengah, Shukor Adan serta pemain sayap, Mohd Amri Yahyah yang digantung perlawanan sebelum ini, Dollah dijangka melakukan kejutan dengan memasukkan penyerang Indra Putra Mahayuddin bergandingan bersama Mohd Safee Sali, Mohd Badhri Radzi beraksi buat kali pertama dengan Safiq Rahim serta S Kunanlan mengambil posisi Mahali Jasuli di pertahanan kanan.

“Sekarang Shukor dan Amri sudah boleh bermain dan kemungkinan besar saya akan memasukkan Indra.

“Saya percaya ketiga-tiga pemain senior ini akan membawa perubahan dalam pasukan. Piya (Badhri) pemain menyerang, bukan bertahan, tapi jangan terkejut kalau saya masukkan dia,” kata Dollah.

Bagaimanapun dalam sidang media sebelum itu wartawan Vietnam masih mempersoalkan permainan kasar dipamerkan Harimau Malaya pada aksi pertama, namun Dollah menganggap ia perkara biasa.

“Ini bola sepak, saya tidak mahu komen. Saya harap pemain akan berikan aksi terbaik kerana ini bukan perlawanan mudah tapi tidak mustahil.

“Berdasarkan sikap pemain dalam latihan saya percaya mereka sudah cukup bersedia untuk membuat kejutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 6:53 AM